Elak haid ketika tunai haji, umrah - Utusan Malaysia

Elak haid ketika tunai haji, umrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSOALAN setiap kali menjelang musim haji atau umrah adalah bagaimana cara untuk mengelakkan haid sewaktu menunaikan ibadah ini? Pil apakah yang sesuai diambil? Bagaimana cara pengambilan? Apakah kesan sampingannya?

Sebagai seorang wanita dan ibu, pastinya pelbagai cabaran dilalui sebelum dan ketika mahu mengerjakan ibadah haji dan umrah, terutamanya bagi wanita yang masih berada di dalam fasa ‘reproduktif’ ataupun fasa subur dan belum mengalami menopaus atau putus haid.

Jika dahulu, majoriti jemaah haji wanita sudah pun melewati usia menopaus, menyebabkan topik ini kurang dibincangkan pada masa dahulu. Kini ramai wanita berpeluang menunaikan ibadah ini sebelum putus haid dan menyebabkan timbul khuatir sekiranya kedatangan haid ketika sedang menjalankan rukun Islam kelima tersebut atau umrah.

Berkongsi pengalaman, Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Dr. Nurul Khairiyah Khairuddin ada cara mengelak dan menghentikan haid sewaktu menunaikan haji.

Beliau telah membuat rujukan dengan ustazah dan membaca fatwa berkenaan penggunaan ubat menahan haid. Hukumnya harus selagi tidak memudaratkan.

“Saya mula mengambil ubat pil perancang dua bulan sebelum jangkaan tarikh berlepas ke tanah suci. Saya perlu menguji dahulu keberkesanan ubat tersebut sebelum digunakan di sana.

“Ubat yang saya ambil adalah pil kombinasi estrogen dan progesterone. Ubat ini akan menghalang proses ovulasi berlaku di samping menstabilkan dinding rahim,” katanya kepada Utusan Malaysia.

PROSES OVULASI
Menurut beliau, secara semula jadinya, proses ovulasi menyediakan benih wanita (ovum) untuk disenyawakan sewaktu hari subur.

“Dinding rahim akan menebal dan bersedia untuk menerima janin yang bakal terbentuk untuk melekat di dinding rahim. Apabila persenyawaan tidak berlaku, maka dinding rahim yang tebal ini akan runtuh menjadi darah haid,” katanya.

PIL ELAK OVULASI BERLAKU
Dr. Nurul Khairiyah berkata, salah satu cara untuk mengelakkan haid berlaku adalah dengan mengambil pil Combine Oral Contraceptive Pil (OCP) atau ubat pencegah kehamilan untuk menghalang ovulasi.

“Dengan pengambilan pil OCP ini, dinding rahim tidak menebal dan distabilkan daripada runtuh oleh pil, maka tiada haid berlaku selagi terus mengambilnya tanpa henti.

“Saya mengambil pil tersebut setiap hari, setelah azan pertama berkumandang.

“Di Mekah, azan akan berkumandang dua kali di awal pagi. Azan pertama sebelum waktu subuh dan azan kedua setelah masuk waktu Subuh.

“Saya meneruskannya sehingga selesai urusan haji,” kongsinya.

KESAN SAMPINGAN TERLUPA AMBIL PIL
Kongsi beliau, disebabkan lupa makan pil tersebut menyebabkan kesan sampingan berlaku iaitu kedatangan haid serta-merta.

“Setelah segala urusan haji selesai, saya berazam untuk melaksanakan umrah setiap hari selepas Subuh dan berpuasa sunat pula. Ditakdirkan Allah SWT, pada hari kedua saya berniat untuk puasa, saya terlupa sama sekali untuk mengambil pil tersebut. Saya hanya menyedarinya selepas azan kedua berkumandang. Memandangkan saya sudah berniat, saya teruskan sahaja puasa.

“Menjelang waktu Asar hari sama, terus turun darah haid. Sememangnya itu adalah kesan sampingan yang boleh dijangka kerana dinding rahim menjadi tidak stabil apabila tiada hormon yang mengawalnya.

“Dinding rahim akan runtuh menjadi darah haid. Haid saya berlangsung selama lapan hari, ia tidaklah banyak, tetapi tiada tanda ia mahu berhenti. Tinggal empat hari lagi sebelum saya meninggalkan bumi Mekah untuk ke Madinah. Saya mula gusar kerana perlu melaksanakan tawaf wida’,” katanya.

PIL DOS TINGGI
Dr. Nurul Khairiyah kemudian bertanya kepada pakar perunding beliau yang turut mengerjakan haji pada musim itu dan dicadangkan untuk mengambil dos tinggi progesterone bagi menghentikan darah haid.

“Namun saya perlu makan pil ini hingga pulang ke tanah air. Jika tidak, darah akan turun tidak menentu.

“Saya mengambil Pil Provera 10 miligram (mg) tiga kali sehari yang dibeli di farmasi di Mekah. Haid saya berhenti selepas 24 jam. Saya berkesempatan untuk menjalankan umrah terakhir dan menyelesaikan tawaf wida’.

“Pilihan kedua ini iaitu dengan pengambilan pil Provera adalah bagi mereka yang mahu menahan haid dan perlu diambil tiga kali sehari. Ia akan menstabilkan dinding rahim dan meniru komposisi hormon ketika hamil. Ia juga boleh diambil untuk memendekkan tempoh durasi haid yang sudah terjadi. Ia dimulakan tiga hari sebelum tarikh jangka akan haid,” katanya.

Jelas beliau, pilihan kedua pengambilan pil ini jika telah terlewat untuk memulakan pil gabungan OCP.

“Memandangkan ia perlu diambil tiga kali sehari, kebarangkalian terlupa untuk mengambil ubat ini sangat tinggi. Kedua-dua jenis pil ini perlu dimakan berterusan setelah mula diambil hinggalah pulang ke Malaysia.

“Jika terlupa, kemungkinan boleh berlaku withdrawal bleed atau pendarahan tidak sekata daripada vagina. Sama ada hukum haid terpakai atau tidak ketika itu adalah topik untuk perbincangan yang lain,” katanya.

Kata Dr. Nurul Khairiyah, melalui ilmu fisiologi kitaran haid dan manipulasi hormon, haid boleh ditangguhkan.

“Walau bagaimanapun, kita perlu faham dan sedar sepenuhnya, kita berusaha dan merancang. Allah SWT jualah yang memberikan rezeki kepada kita sama ada ia berkesan atau tidak atau berjalan seperti yang kita rancangkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×