ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengesahkan Kumpulan Syarikat ECK (ECK) sudah tidak lagi terlibat dengan projek untuk membangunkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) seperti diuar-uarkan sebelum ini.
Menurutnya, penamatan usaha sama tersebut bagaimanapun bukanlah disebabkan oleh syarikat berkenaan memiliki kaitan dengan penanaman durian Musang King di Gunung Inas seperti didakwa sesetengah pihak sebelum ini.
Sebaliknya kata beliau, penamatan usaha sama itu disebabkan syarikat tersebut tidak dapat memenuhi syarat dipersetujui kedua-dua pihak sebelum ini.
“Salah satu syaratnya adalah, syarikat itu kena depositkan yuran komitmen berjumlah 125 peratus daripada RM2.1 bilion untuk pengambilalihan tanah tetapi mereka gagal penuhi. Itu adalah perkara asas dan apabila tanah tak dapat diambil, maka projek itu tak ‘jalanlah’.
“Tetapi kita tak berniat nak batalkan projek tersebut. Apabila khidmat mereka ditamatkan, kita cari orang lain pula untuk buat usaha sama bagi laksanakan projek tersebut.
“Yang pastinya penamatan usaha sama bersama ECK ini tiada kaitan dengan ladang durian Musang King di Gunung Inas atau kejadian kepala air serta banjir yang berlaku. Saya buat keputusan tamatkan usaha sama dengan ECK pada Mei sedangkan banjir baru berlaku minggu lepas, macam mana boleh kata ada kena mengena?” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan inisiatif tempat meletak kereta pintar dalam daerah Kulim hasil kolaborasi antara Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) dengan syarikat HeiTech Padu Berhad di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Semalam, Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Muhkriz Mahathir mendakwa ECK telah membeli syarikat Aman Mega Sdn. Bhd. yang kemudiannya dibenarkan untuk menanam Musang King ketika Kedah ditadbir Barisan Nasional (BN) pada era Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah menjadi Menteri Besar.
Menurut Mukhriz, Muhammad Sanusi kemudiannya menganugerahkan projek KXP kepada ECK sebelum anugerah itu dibatalkan berikutan ketidak mampuan syarikat berkenaan melaksanakan projek mega tersebut.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, ketika ini terdapat tujuh atau lapan syarikat yang menunjukkan minat untuk meneruskan projek KXP seperti dihasratkan kerajaan negeri.
“Mereka sudah hantar kertas cadangan dan KXP AirportCity Holdings Sdn. Bhd. akan buat penilaian serta usaha wajar (due diligence) bagi memilih syarikat yang layak. Kita akan laksanakan proses pemilihan paling meyakinkan sebab projek ini melibatkan pelaburan besar,” katanya. – UTUSAN










