PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan dua pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan didakwa di mahkamah, esok.
Kedua-duanya berdepan lima pertuduhan membabitkan Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 berkaitan kesalahan mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapatkan suapan.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia.
Kata beliau, pertuduhan dilakukan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada pukul 8.30 pagi esok.
Pada Februari lalu, SPRM memulakan siasatan berhubung dakwaan berlaku salah guna kuasa dan salah urus membabitkan beberapa pegawai kanan Mara selepas tular dalam media sosial satu dokumen mengenainya.
Siasatan dimulakan dengan sesi merakam keterangan beberapa pegawai Mara Corporation (MARA Corp).
SPRM kemudian menyerbu sekurang-kurangnya tiga pejabat berkaitan Mara di ibu negara dan mengambil beberapa dokumen untuk membantu siasatan.
Pada 11 Februari lalu, SPRM mengambil keterangan lima pegawai kanan Mara berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa itu.
Isu salah guna kuasa dan salah urus MARA Corp. didedahkan pemilik akaun Twitter menerusi ciapannya, yang turut melampirkan enam halaman surat berhubung isu integriti pegawai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar itu.
Lima pegawai agensi itu yang dikaitkan dakwaan terbabit juga tampil membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur secara berasingan, menafikan terbabit perbuatan seperti didakwa.
Pada 14 Jun lalu, Ketua Pengarah SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan, SPRM sudah mencadangkan beberapa nama kepada Jabatan Peguam Negara untuk dituduh. – UTUSAN










