Dua kanak-kanak maut tertimbus tanah runtuh

Dua kanak-kanak maut tertimbus tanah runtuh

PASUKAN Bomba menyelamatkan mangsa yang cedera akibat tanah runtuh yang berlaku di Kota Kinabalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Dua kanak-kanak maut manakala, dua mangsa cedera dalam kejadian tanah runtuh berhampiran Rumah Pangsa Taman Elok Bukit Nenas di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 malam itu, kedua-dua mangsa maut yang merupakan sepupu itu disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital.

Penolong Pengarah (Operasi), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Misran Bisara berkata, mangsa dikenali sebagai Isa Sabri berusia dua tahun dan Norain Julaziz, 11.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.26 malam dan segera menggerakkan sepasukan pegawai dan anggota ke lokasi kejadian yang terletak pada jarak tujuh kilometer.

Sebaik sahaja tiba di lokasi, terdapat sebuah rumah tertimbus tanah runtuh yang didiami sembilan individu.

“Rumah yang berada di bawah bukit tertimbus akibat tanah runtuh yang berlaku dan empat mangsa terlibat iaitu dua kanak-kanak dan sepasang suami isteri.

“Pasangan suami isteri dikenali sebagai Sabri Botong,28, dan Siti Nur, 28, adalah ibu bapa kepada kanak-kanak lelaki yang maut dalam insiden ini.

“Ibu kepada kanak-kanak tersebut mengalami patah tangan dan bapanya pula cedera ringan dibahagian kaki,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, semasa kejadian tiga mangsa yang tertimbus tanah runtuh dan pokok dikeluarkan oleh pasukan bomba dengan bantuan orang awam.

Mangsa kanak-kanak lelaki berusia dua tahun telah dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan bomba.

Tiga mangsa lain diberikan rawatan awal oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS dan juga ambulans.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN