JOHOR BAHRU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri ini menerima sebanyak tujuh hingga lapan panggilan kecemasan tentang pembakaran terbuka setiap hari.
Pengarahnya, Datuk Yahaya Madis berkata, namun keadaan itu masih terkawal.
“Cuaca memang panas, tetapi insiden pembakaran terbuka masih terkawal, mungkin kerana beberapa faktor seperti kesedaran tinggi dalam kalangan masyarakat dan juga pemantauan oleh pihak berkuasa.
“Dalam persekitaran negara kita, majoriti pembakaran terbuka adalah berpunca daripada individu kerana tidak banyak kejadian pembakaran terbuka yang berlaku disebabkan oleh cuaca panas.
“Kita juga telah menjalankan ujian dengan membaling puntung rokok ke kawasan semak, dan memang tiada berlaku kebakaran. Jadi, jika ada pembakaran terbuka ianya memang disebabkan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya selepas menerima lawatan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor, hari ini.
Sementara itu, Mohd. Jafni berpuas hati dengan aset dan kemampuan JBPM Johor menjalankan tugas mereka.
“Jadi, kita yakin dengan kemampuan Bomba Johor yang telah mempunyai pengalaman menghadapi pelbagai cabaran termasuklah pandemik Covid-19, insiden pencemaran Sungai Kim Kim dan banjir.
“Kita juga telah berjaya menyelesaikan masalah panggilan palsu dan kini panggilan kecemasan perlu melalui saringan oleh pihak telekomunikasi terlebih dahulu.
“Jadi, mana-mana panggilan kecemasan yang masuk adalah insiden yang benar-benar berlaku dan bukan lagi panggilan palsu,” jelasnya. – UTUSAN










