Cadangan bawa masuk pembantu rumah Kemboja dibentang di Kabinet 

Cadangan bawa masuk pembantu rumah Kemboja dibentang di Kabinet 

M. SARAVANAN (tengah) melihat lakaran projek pembangunan Rumah Kelab Bell Belia Tamil pada majlis Pecah Tanah Majlis Pecah Tanah Rumah Kelab Bell Belia Tamil Gopeng di Gopeng, Perak, hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOPENG: Kementerian Sumber Manusia akan membentangkan cadangan berkaitan memorandum persefahaman (MoU) kerjasama dengan Kemboja bagi membawa masuk pembantu rumah dari negara itu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pihaknya sudah melalui beberapa peringkat rundingan dan MoU dijangka diselesaikan dalam masa terdekat.

“Cadangan itu masih dalam proses dan mengambil masa tetapi kerajaan cuba mempercepatkannya. Saya akan membentangkan cadangan MoU ini ke Kabinet untuk membawa masuk pekerja asing khususnya pembantu rumah Islam dari Kemboja,” katanya kepada pemberita pada majlis pecah tanah Rumah Kelab Bell Belia Tamil Gopeng, di sini hari ini.

Menurut Saravanan, pihaknya sudah berbincang dengan Kerajaan Kemboja berhubung kerjasama itu.

“Saya sudah pun berbincang dengan Kerajaan Kemboja dan mereka diberi peluang membawa masuk pembantu rumah yang beragama Islam ke negara ini. Negara sudah mula menerima masuk pekerja asing pembantu rumah dari Indonesia sejak 1 Julai lalu,” katanya.

Sementara itu, mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  terhadap dakwaan penyelewengan dalam pemilihan 25 syarikat Bangladesh sebagai ejen merekrut pekerja negara itu ke Malaysia, Saravanan berkata, siasatan tidak memberi kesan terhadap kemasukan dan pengambilan pekerja asing dari negara Bangladesh.

Menurutnya, siasatan juga tiada kaitan dengan proses pengambilan pekerja asing kerana kementerian melakukan proses mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Apa yang kita buat adalah mengikut tatacara kementerian, tidak berkaitan antara kes yang sedang disiasat SPRM dengan apa yang kerajaan sedang lakukan. Walaupun sistem yang digunakan adalah sistem yang disediakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), kita cuma kongsi sistem sahaja, jadi tiada masalah,” katanya.

Katanya, siasatan juga tidak menjejaskan proses kemasukan dan pengambilan pekerja asing.

“Mungkin syarikat yang berkenaan memberi kerjasama dengan SPRM,  jadi mungkin sedikit kelewatan, tetapi secara keseluruhan tidak menjejaskan pengambilan pekerja dari Bangladesh,” katanya.

Saravanan mengulas siasatan SPRM terhadap sebuah syarikat yang membekalkan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS), iaitu platform dalam talian yang digunakan untuk menguruskan pengambilan pekerja asing.

Pada 6 Julai, Akhbar Bangladesh, The Business Post memetik sumber diplomatik dari Kuala Lumpur sebagai berkata, pengasas syarikat itu bersama beberapa pegawai syarikat yang lain disoal siasat di pejabat syarikat itu di Cyberjaya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN