Buru tali barut nelayan asing - Utusan Malaysia

Buru tali barut nelayan asing

MOHD. Zubil Mat Som (kiri) meninjau empat bot nelayan Vietnam yang ditahan menerusi Op Kuda Laut Siri 3/2021 kerana menceroboh perairan negara. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penglibatan individu tempatan yang menjadi tali barut kepada nelayan asing diburu habis-habisan atas tindakan mereka membenarkan penjenayah lautan itu menceroboh perairan negara.

Menegaskan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan wujudnya persengkongkolan itu dan ia dalam radar pemantauan agensi berkenaan.

Menurut beliau, ini memandangkan penguatkuasaan Maritim Malaysia hanya melibatkan tangkapan bot dan warga asing berkaitan kesalahan pencerobohan perairan negara di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

“Buat masa sekarang kes tangkapan yang melibatkan nelayan atau bot tempatan tidak ada dalam rekod, namun tidak mustahil ada penglibatan mereka, cuma kita masih memantau dan mengumpulkan maklumat isu ini.

“Pada masa sama, Maritim Malaysia terus memantau kawasan panas yang dikenal pasti dan menguatkuasakan undang-undang semasa jika negara-negara terlibat masih meneruskan aktiviti mereka di kawasan perairan negara Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE),” katanya di sini semalam.

Mohd. Zubil berkata, sejumlah 678 bot melibatkan 6,189 nelayan asing berjaya ditahan Maritim Malaysia dalam tempoh lima tahun sejak 2017 dengan nilai rampasan berjumlah hampir RM1.02 bilion.

Kata beliau, tangkapan itu melibatkan negara-negara yang bersempadan perairan Malaysia dengan nelayan VIetnam paling ramai ditahan iaitu 5,617 melibatkan 567 buah bot dari negara berkenaan.

Ini diikuti Indonesia berjumlah 349 nelayan melibat 71 buah bot ditahan, China (142 nelayan, 13 bot); Thailand (56 nelayan, 35 bot); Taiwan (10 nelayan, 2 bot);  Filipina (8 nelayan); Myanmar (6 nelayan); Kemboja (1 nelayan).

Beliau turut mendedahkan, modus operandi pencerobohan yang dikenal pasti adalah bot nelayan asing akan membuat penyamaran sebagai bot nelayan tempatan dengan menukar nombor pendaftaran supaya dari jauh kelihatan seperti bot tempatan.

Katanya, mereka juga akan memalsukan dokumen bot berkaitan dengan kebenaran menangkap ikan di kawasan Malaysia dan awak-awak asing.

“Kawasan yang sering menjadi tumpuan merupakan kawasan yang menjadi tuntutan antara negara jiran dan Malaysia kerana bersempadan dengan perairan negara dan mudah untuk berada di kawasan tersebut.

“Kawasan tumpuan adalah seperti kawasan beting iaitu Beting Patinggi Ali dan Beting Raja Jarom kerana kawasan tersebut mempunyai batu karang yang menjadi habitat pelbagai jenis ikan yang bernilai tinggi,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Zubil berkata, ada juga pencerobohan yang tertumpu di kawasan sempadan perairan kerana bot nelayan asing mudah untuk meloloskan diri daripada tindakan penguat kuasa kerana ia dapat keluar daripada kawasan sempadan dengan cepat dan mudah.

Selain itu, kata beliau, terdapat juga pencerobohan berlaku di kawasan pelantar minyak kerana kawasan tersebut kaya dengan habitat hidupan laut.

Untuk itu, Maritim Malaysia bekerjasama dengan Syarikat Carigali dalam usaha membanteras kegiatan pencerobohan kerana kawasan pelantar minyak merupakan kawasan larangan di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelbagai usaha dilaksanakan Maritim Malaysia bagi memastikan perairan Malaysia bebas daripada pencerobohan bot nelayan asing dengan meningkatkan rondaan harian menggunakan aset laut dan udara.

Rondaan penguatkuasaan dilaksanakan setiap hari dengan mengoperasikan sebanyak 45 buah vesel laut dan udara dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan Zon Maritim Malaysia.

“Aset Bersaiz Besar dioptimumkan. Pengoperasian kapal kelas OPV (Offshore Patrol Vessel) di perairan laut dalam hingga ZEE Malaysia (sehingga 200 batu nautika atau 370.4 kilometer) kerana kemampuannya untuk berlayar dalam tempoh lama khususnya di perairan Laut China Selatan.

“Mengenal pasti hot spot kegiatan bot nelayan asing dengan sentiasa mengemas kini maklumat kawasan yang menjadi kemasukan pencerobohan yang mana modus operandinya sentiasa berubah-ubah  tempat atau kawasan,” katanya.

Selain itu, jelas Mohd. Zubil,  pemantauan melalui Radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) dilaksanakan dengan meningkatkan keupayaan sistem radar SWASLA sedia ada di Semenanjung dan Sabah.

 Maritim Malaysia juga dalam perancangan untuk menempatkan sistem SWASLA di Sarawak serta di Pantai Timur Semenanjung kerana dengan kaedah itu, aset laut dan udara dapat digerakkan untuk memintas dengan cepat dan tepat.

Pada masa sama, pihaknya turut melaksanakan Program ‘Sahabat Maritim’ bagi menggalakkan komuniti maritim sebagai mata dan telinga kepada agensi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya