SIK: Masih segar dalam ingatan Manan Ramli, pada 26 Julai 2020 apabila banjir lumpur melanda rumahnya di Kampung Lubuk Tualang, di sini turut membawa bersama sebatang pokok hanyut.
Pokok sebesar dua pemeluk orang dewasa itu ‘singgah’ betul-betul di halaman rumahnya yang berada di tebing Sungai Chepir dalam kejadian hanya beberapa hari sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun itu.
Sejak itu, Manan, 58, mengakui agak sukar untuk dia melelapkan mata setiap kali hujan pada waktu malam kerana bimbang kejadian tidak diingini menimpa mereka sekeluarga dan penduduk kampung lain ketika sedang tidur.

“Sekarang ini, kalau hujan, memang kami berjaga-jaga lebih-lebih lagi pada waktu malam selepas apa yang berlaku di Kupang, baru-baru ini kerana rumah saya pun terletak di tepi sungai sama macam rumah mereka. Bukan setakat bimbang, takut pun ada.
“Kami tak mahu kejadian sehingga meragut nyawa penduduk berulang di sini pula kerana kesannya amat dahsyat termasuk dari segi emosi. Sudah cukup sebelum ini beberapa kali kami terpaksa cuci rumah yang dipenuhi lumpur.
“Ada satu tahun itu, lebih kurang tiga kali air memasuki rumah dan warnanya memang keruh seperti teh ais. Kadang-kala, lumpur tebal menyukarkan kerja-kerja pencucian dan kesan lumpur itu masih boleh dilihat di halaman rumah sehingga kini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.

Akhbar ini melaporkan, Hutan Simpan Kekal (HSK) Rimba Teloi yang turut diteroka untuk diusahakan sebagai ladang hutan dan kini dimajukan dengan tanaman durian Musang King berisiko mengulangi episod sedih tragedi kepala air dan banjir lumpur di Gunung Inas, Baling pada 4 Julai lalu.
Sementara itu, bapa Manan, Ramli Ahmad, 85, yang tinggal berasingan di hadapan rumahnya mengakui, sejak mendiami kampung tersebut bermula tahun 1962, tidak pernah berlaku banjir teruk seperti yang terjadi dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.
“Sudah banyak barangan rumah rosak akibat banjir lumpur yang berlaku, air akan masuk ke dalam rumah sehingga paras lutut kerana kawasan kami memang betul-betul terletak di tepi Sungai Chepir.
“Saya harap kerajaan negeri buat sesuatu agar dapat mengurangkan risiko seperti yang berlaku di kawasan lain, kami takut apabila melihat kesan-kesan kemusnahan seperti yang dilaporkan sebelum ini dan tak mahu kampung kami menjadi lokasi tragedi yang seterusnya,” katanya. – UTUSAN










