LANGKAWI: Tun Dr. Mahathir Mohamad akan memberikan keputusan sama ada akan bertanding atau tidak dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila tarikhnya semakin hampir.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, sebelum ini beliau sering memberikan jawapan yang berbeza-beza demi menjaga hati ramai pihak.
“Ada juga penyokong-penyokong saya yang marah bila saya kata tak mahu bertanding. Jadi saya serba salah. Bila kata nak bertanding, orang kata dah tua.
“Tapi bila dekat pilihan raya kita tengok keadaan. Kalau perlu saya bertanding, saya bertanding,” katanya selepas berjumpa Pengusaha-Pengusaha Bot Pelancong di Jeti Tanjung Rhu di sini, petang semalam.
Menurut Dr. Mahathir, situasi politik negara yang tidak menentu ketika ini juga menyebabkan beliau belum bersedia untuk menyatakan keputusannya berhubung perkara itu.
Walau bagaimanapun, Dr. Mahathir menyatakan faktor beliau tidak mahu bertanding kerana usianya yang telah mencecah 97 tahun.
“Tapi kalau nak ikut kehendak saya tu, dah tua sangatlah, tak payahlah bertanding,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menolak untuk bekerjasama dengan gabungan politik sedia ada namun menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang berkata, mereka tidak mahu bekerjasama dengan parti yang terlibat rasuah, serta tidak jujur berkhidmat untuk negara.
“Barisan Nasional (tak mahu kerjasama) pasal terlalu banyak penyangak-penyangak di situ. Pakatan Harapan (PH) pula, orang Melayu tak suka dengan DAP.
“Kalau kita dengan PH, kita akan hilang sokongan daripada orang Melayu. Jadi kita berpendapat bahawa eloklah kalau kita tidak menyertai PH atau pun BN,” katanya.
Beliau turut menyatakan Pejuang tidak akan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) kerana ramai individu terutamanya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang hanya bekerja kerana wang.
Tambahnya, Pejuang kini sedang mengumpulkan parti yang tidak terlibat dengan rasuah serta NGO untuk bekerjasama bagi PRU15 kelak.
“Penyokong kita ramai dan kita bekerjasama dengan NGO, dengan parti-parti lain yang tak terlibat dengan rasuah. Jadi kita boleh ada sehingga 120 calon kawasan,” ujarnya. – UTUSAN