PETALING JAYA: Membentangkan Belanjawan 2023 lebih awal tanpa membahas dan meluluskannya, kemudian membubarkan Parlimen semata-mata mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah amalan tidak bertanggungjawab.
Profesor Pengajian Tadbir Urus, Pusat Pembangunan Lestari Jeffrey Sachs (JSC), Sunway University, Prof. Wong Chin Huat berkata, tiada jaminan belanjawan sama akan dibentang selepas kerajaan (Perikatan Nasional-Barisan Nasional) menang pilihan raya tanpa perbahasan ahli-ahli Dewan Rakyat di Parlimen.
Beliau berkata, meskipun ia pernah berlaku pada 1999, namun, parti politik tidak sepatutnya ‘membelakangi’ kepentingan rakyat demi merebut kuasa di peringkat Persekutuan.
“Kerajaan boleh berjanji bulan dan bintang untuk meraih undi tetapi tiada apa jaminan yang belanjawan sama akan dibentang selepas menang pilihan raya?
“Pembangkang juga akan terdesak mengemukakan janji-janji lebih populis dan perlumbaan menjadi populis antara satu sama lain berbahaya untuk ekonomi dan negara. Inilah antara punca Sri Lanka muflis kerana janji pilihan raya populis dengan memotong cukai,” katanya ketika dihubungi semalam.
Baru-baru ini, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hassan dilaporkan berkata, tempoh sekitar Oktober hingga sebelum hujung November ini sebagai waktu ideal untuk PRU15 dengan belanjawan dibentang awal kemudian membubarkan Parlimen.
Katanya, ia mengambil masa satu bulan setengah untuk pilihan raya diadakan jika pembentangan belanjawan dibentang pada minggu pertama Oktober, yang secara lazimnya dibuat pada minggu ketiga bulan sama.
Mengulas lanjut, Chin Huat berkata, dalam keadaan tidak menentu, desakan pembubaran Parlimen awal tidak menjamin kejayaan sebaliknya, mewujudkan kemudaratan malah kerajaan tidak dapat merancang masa hadapan kerana spekulasi tarikh pilihan raya sentiasa berubah.
“Pilihan raya awal juga tidak menjamin bahawa tidak muncul lagi ‘Parlimen tergantung’, dan jika banjir atau malapetaka lain melanda semasa kempen pilihan raya, rakyat pasti marah dengan kerajaan.
“Anggota polis dan guru juga tidak dapat merancang cuti mereka, pelabur tidak berani membuat keputusan akibat ketidaktentuan malah menteri-menteri tidak dapat menumpukan perhatian kepada pentadbiran negara semasa menghadapi krisis ekonomi, endemik dan alam sekitar kerana memikirkan jangka hayat mereka dalam pencalonan parti dan pilihan raya,” katanya.
Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, waktu paling sesuai untuk pilihan raya ialah pada hujung penggal Parlimen yang dijangka pada Mei atau Jun 2023.
“Tidak sesuai pilihan raya awal dalam keadaan rakyat masih kelihatan pasif dan tidak yakin terhadap suasana politik negara ketika ini. Ini akan menyebabkan peratusan undi rendah dan tidak akan membentuk sebuah kerajaan kukuh dan stabil.
“Kita harus memperhalusi faktor luar jangka seperti keselamatan negara, cuaca dan keadaan yang tidak mempunyai akses untuk pengundian. Kalau pada hujung penggal itu rakyat masih pasif dan tidak yakin, kita tiada pilihan dan pilihan raya perlu dijalankan. Pada masa itu akan berlaku secara semula jadi rakyat akan mengundi,” katanya. – UTUSAN