PUTRAJAYA: Sebahagian besar bekas kakitangan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) sudah pun bersedia membantu Barisan Nasional (BN) bagi menawan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Malah, menurut mantan Panel Pemikir Jasa, Tun Faisal Ismail Aziz, mereka tidak sabar menanti pembubaran Parlimen dalam masa terdekat kerana sudah bersiap siaga pada bila-bila masa.
“Pengalaman pernah dizalimi rejim Pakatan Harapan (PH) yang membubarkan agensi ini pada 2018 lepas akan jadi semangat bagi kami bangkit semula,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, beliau menyertai Majlis Silaturrahim Bekas Kakitangan Jasa yang julung kali dibuat dengan dirasmikan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias di sini.
Ahli Parlimen Jelebu di Negeri Sembilan itu ialah mantan petugas agensi tersebut sebelum menyertai bidang politik dan paling lantang mengutuk pembubaran Jasa oleh kerajaan PH dahulu.
Agensi ini ditubuhkan pada 1959 lalu namun dihapuskan oleh PH empat tahun lepas dengan turut bersama melibatkan Biro Tata Negara (BTN) dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Seramai 782 petugas Jasa menjadi mangsa politik kejam PH, namun, ada kalangan mereka kemudian diserapkan dalam perkhidmatan kerajaan negeri Sarawak, Pahang, Perlis dan Melaka.
Mengulas lanjut, Tun Faisal Ismail berkata, bekas staf Jasa tiada masalah pun turun ke lapangan bagi membantu BN sekiranya diperlukan sebagai jentera kempen gabungan parti berkenaan.
“Kami hanya menunggu detik menjelang tamat memorandum persefahaman (MoU) antara pihak kerajaan dan PH pada 31 Julai ini yang akan buka ‘laluan’ kepada situasi PRU15,” jelasnya.
Dengan nada optimis, beliau yakin BN tiada masalah menang besar kerana rakyat telah dapat menilai perbezaan ketara ketika ditadbir oleh PH selama 22 bulan berbanding era sebelum itu.
Dewan Rakyat penggal kelima Parlimen ke-14 telah genap berusia empat tahun pada 16 Julai lalu dengan secara kelaziman dibubar kerajaan sebelum cukup tempoh maksimum lima tahun.
Pembubaran akan berlaku automatik pada 17 Julai 2023 kerana genap lima tahun setelah Yang di-Pertuan Agong merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Pertama pada 2018.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Majlis, Md. Nor Bachok turut bersetuju dan menjangka rakyat sudah mula ‘buka mata’ dengan matang menilai senario siasah semasa.
Beliau yang pernah berkhidmat sebagai Penyelaras Jasa Daerah Muar di Johor berkata, sokongan kepada BN juga dapat dilihat berdasarkan trend pilihan raya kecil (PRK) pasca PRU15.
“Gelombang peralihan ‘tsunami’ bahkan mula memihak kepada BN ketika pilihan raya negeri Melaka dan Johor manakala PH pula masih dengan ‘stail’ lama iaitu hasut rakyat,” tambahnya.
Bekas petugas Jasa, ujarnya, turut dapat merasai perubahan sokongan itu bermula daripada PRK di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai, Kimanis, Chini dan terakhir, Slim.
Pada masa yang sama kata Md. Nor, mereka juga berpeluang mengoptimumkan wadah siber sebagai senjata kempen paling efisien menawan pemikiran rakyat khususnya generasi muda.
Justeru tegas beliau, mereka ketika ini teruja untuk tampil menolong BN termasuk merampas kembali negeri-negeri dikuasai PH demi membina negara yang lebih makmur dan sejahtera. –UTUSAN ONLINE









