Bantu PMKS kurangkan beban hadapi kenaikan harga barang

Bantu PMKS kurangkan beban hadapi kenaikan harga barang

JASMIN FARHANA AHMAD JAMAL NASIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA :  Isu kenaikan harga barang bukan sahaja meresahkan para pengguna malah membebankan sektor Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) terutamanya peniaga makanan dan barangan runcit.

Exco Keusahawanan Pejuanita Muda Malaysia Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) Jasmin Farhana Ahmad Jamal A Nasir berkata, peniaga kecil kebanyakannya terjejas teruk sewaktu pandemik Covid-19 dan apabila baru sahaja ingin bernafas semula, mereka kini dibebani pula dengan isu kenaikan harga barang.

“ Rata-rata mereka terpaksa mengecilkan kuantiti produk jualan atau menaikkan harga jualan susulan kenaikan harga bahan mentah daripada pembekal. 

Kondisi ‘shrink-inflation’ atau ‘hyper-inflation‘ ini memaksa peniaga menanggung risiko kerugian atau kehilangan pelanggan, ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, walaupun pelbagai bentuk bantuan pinjaman dan geran disalurkan untuk memulihkan sektor ekonomi PMKS, masih ramai peniaga kecil yang disasarkan tidak mendapat bantuan akibat birokrasi daripada institusi bank dan agensi kerajaan.

Menurut beliau lagi , ramai kalangan mereka masih dibebani hutang dan juga kekurangan modal pusingan untuk kembali stabil.

Justeru Pejuanita Muda menuntut kerajaan melaksanakan pemantauan berterusan agar dana yang disalurkan diurus tadbir dengan baik dan bukan sekadar melepas betok di tangga.

Akses dan kelonggaran untuk bantuan perniagaan harus diperhalusi supaya lebih banyak syarikat ‘start-up‘ mendapat manfaat dan dapat menyokong sektor ini untuk kembali pulih.

“ Kita tidak nafikan susulan pandemik Covid-19 dan ketegangan geopolitik di antara Rusia dan Ukraine, kemelesetan ekonomi berlaku di seluruh dunia dan bukan hanya di negra ini.

Namun perkara ini telah lebih awal dijangkakan dan kerajaan sewajarnya merangka mitigasi dan pengawalan risiko kerana ia memberi impak kepada sektor PMKS yang menjurus kepada 97.4% dari pertumbuhan perniagaan setakat Februari 2022.

Kerajaan perlu mengadakan suatu sistem khas buat PMKS untuk mendapatkan subsidi secara terus dari kerajaan untuk pembelian bahan asas terutamanya. 

Kata beliau, subsidi bersasar tersebut perlu diperkemaskan menerusi sistem digital supaya tiada peniaga yang akan tercicir. 

Cadangan tersebut pernah disuarakan Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada Mac 2022.

Pejuanita Muda menuntut sistem subsidi khas ini dilancarkan sesegera mungkin.

Penaiktarafan akses platform digital yang sudah sedia ada seperti Mysejahtera sebagai One-Stop Data Centre bagi pengumpulan maklumat pelbagai sektor dan tidak terhad cuma untuk sektor kesihatan; boleh memaksimalkan pengumpulan data bagi memastikan pelaksanaannya lebih sistematik, telus dan efektif kos.

Subsidi khas tersebut kata beliau, perlu disasarkan kepada peniaga yang menggunakan bahan asas tersebut contohnya pengusaha restoran, peniaga pasar tani, dan penjaja kecil. 

Sistem subsidi perlu dipantau dan diberi had agar tidak diselewengkan dan dibolot syarikat yang tamak. 

Ketirisan penyeludupan subsidi minyak masak paket juga dapat dielakkan sekiranya pemantauan dan penyeliaan dilakukan dengan lebih efisien

Namun begitu; bagi memastikan solusi tersebut mendatangkan hasil untuk jangka masa panjang, kerajaan sepatutnya sudah mula menggerakkan industri agrikultur bersedia untuk menghasilkan bahan mentah bagi jaminan sekuriti makanan di negara ini.

Beliau berkata, hampir empat  juta tan jagung bernilai 7 billion ringgit diimport setiap tahun kerana tiada ladang komersial berskala besar di Malaysia untuk penghasilan dedak. Penggunaan ‘Black Soldier Fly’ (BSF) untuk menggantikan dedak ayam contohnya telah terbukti satu solusi yang baik dan harus dikomersialkan. 

Pelaksanaan projek penghasilan bahan mentah adalah antara yang patut diberi keutamaan oleh kerajaan dan agensi berkaitan dalam mendepani krisis berkenaan. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN