Akidah individu hina Islam perlu diselamatkan - Utusan Malaysia

Akidah individu hina Islam perlu diselamatkan

IDRIS Ahmad (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang mangsa kepala air dan banjir ketika program Penyampaian Sumbangan Bantuan Banjir Skuad Musaadah Keluarga Malaysia di SMA Yayasan Khairiah, Kupang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Individu yang didapati menghina kesucian agama Islam di negara ini akan dipanggil pihak berkuasa untuk diberikan nasihat agar akidah mereka dapat diselamatkan daripada terus hanyut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, langkah itu akan dikendalikan Jawatankuasa Pemandu Menangani Ajaran Sesat Peringkat Kebangsaan (Japas) di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang dipengerusikan olehnya.

“Japas turut disertai Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Jabatan Agama Islam setiap negeri. Memang kita akan hubungi mereka ini kerana kita mahu selamatkan akidah mereka.

“Orang Islam kena ingat, kalau permainkan soal itu (agama), ia melibatkan akidah. Kalau mereka bercakap itu dalam keadaan jahil, kita panggil dan nasihatkan, kalau masih degil maka tindakan akan dikenakan,” katanya selepas menyampaikan sumbangan bantuan banjir Skuad Musaadah Keluarga Malaysia di Kupang, hari ini.

Idris mengulas tindakan individu beragama Islam yang menghina agama itu termasuk kejadian yang berlaku di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr. Ismail di ibu negara, baru-baru ini.

Beliau juga mengingatkan kesemua rakyat termasuk bukan Islam tidak menghina agama Islam berikutan perkara itu amat sensitif kepada orang Islam.

Katanya, sejarah sudah membuktikan orang Islam akan mempertahankan agamanya apabila komunis tidak mampu bertahan lama di Tanah Melayu berikutan mereka bertindak membakar surau dan masjid.

“Orang Islam ini walaupun dia solat lima waktu tidak cukup, namun apabila melibatkan isu hina agama dia akan pertahankan, sebab itu penjajah Inggeris boleh perintah lama kerana mereka tahu sensitiviti orang Melayu, Inggeris bab agama mereka serah kepada raja-raja,” katanya.

Terdahulu, beliau mengumumkan bantuan keseluruhan bernilai RM1.3 juta daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada mangsa banjir di daerah itu yang bertujuan membina semula tiga buah rumah termasuk perabot bernilai RM270,000.

Selain itu, bantuan tunai berjumlah RM672,000, bantuan baik pulih Sekolah Menengah Agama (SMA) Arab Yayasan Khairiah bernilai RM300,000 dan bantuan surau serta masjid berjumlah RM58,000 turut diserahkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN