ALOR SETAR: Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah mengakui bahawa kerajaan negeri di zamannya telah memberi kelulusan kepada ECK Development Sdn. Bhd. bagi mengusahakan ladang durian musang king di Gunung Inas, Baling.
Menurutnya, beliau telah menerima kertas cadangan dikemukakan ECK supaya kawasan tersebut dijadikan ladang durian Musang King pada skala besar dengan cadangan itu kemudiannya diangkat untuk pertimbangan kerajaan.
Sebagai Menteri Besar ketika itu katanya, beliau tidak boleh mengambil keputusan semberono terhadap cadangan tersebut yang perlu melalui beberapa peringkat penelitian dan mesyuarat khas kerajaan.
“Kelulusan tersebut sama sekali tidak bertujuan untuk meluluskan pembalakan baharu kerana sudah pun ada sebelum itu.
“Jadi tumpuan kerajaan adalah memastikan supaya kawasan berkenaan dilindungi semula dan dibaik pulih selepas pembalakan. Ia lebih kepada kesinambungan daripada aktiviti yang dicadangkan oleh syarikat dipertanggungjawab sebelum itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 12 Julai lalu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga bekas Menteri Besar Kedah mendakwa, penanaman durian musang king di ladang hutan di Gunung Inas dibuat Ahmad Bashah.
Katanya, Ahmad Bashah yang memimpin kerajaan negeri dari Februari 2016 hingga Mei 2018 bertindak menukar tanaman pokok getah klon balak (TLC) kepada durian musang king.
Mengulas lanjut, kata Ahmad Bashah, ECK sebelum itu sudah pun membeli syarikat Aman Mega yang diberi kelulusan untuk menguruskan kawasan Gunung Inas oleh Menteri Besar terdahulu.
“Sebenarnya banyak cadangan lain lagi tetapi bagi kerajaan negeri pada masa itu, cadangan daripada ECK tampak lebih meyakinkan. Kita mengambil kira pelbagai faktor termasuk ekonomi, alam semula jadi, kepentingan penduduk dan sebagainya.
“Saya tegaskan, kerajaan memberi kelulusan itu untuk melindungi semula kawasan tersebut disamping kerajaan turut mendapat faedah dan pulangan yang difikirkan setimpal. Apa yang penting bagi kerajaan adalah isu di Gunung Inas itu diselesaikan segera,” katanya.
Ahmad Bashah menambah, beliau tidak menuding jari kepada sesiapa kerana memahami walau sesiapa yang mentadbir, mereka pasti tidak akan membiarkan isu di Gunung Inas berterusan.
Selain itu katanya, pertukaran Menteri Besar daripada seorang individu kepada individu yang lain akan turut membawa perubahan kepada cara berfikir dan cara mentadbir negeri yang sedikit sebanyak memberi kesan terhadap perkara sedemikian.
“Bagi saya, isu utamanya adalah kerajaan mencari jalan untuk melindungi semula kawasan yang telah dibalak. Saya tidak mengatakan bahawa pembalakan itu salah kerana kegiatan tersebut tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya sebaliknya perlu melalui kelulusan kerajaan.
“Apa yang saya tekankan di sini adalah perkara ini tidak perlu dipolitikkan secara keterlaluan. Hentikan sikap saling menyalahkan antara satu sama lain sebaliknya teruskan usaha dan ambil tindakan segera untuk menyelesaikan sebarang isu,” katanya. –UTUSAN










