80 peratus radar pengesan di perairan Sabah tidak berfungsi - Utusan Malaysia

80 peratus radar pengesan di perairan Sabah tidak berfungsi

MOHD. Shafie Apdal (dua kiri) beramah mesra dengan pelanggan di Pasar Foh Sang di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Hampir 80 peratus radar pengesan dipercayai tidak berfungsi bagi mengenal pasti pergerakan keluar dan masuk bot di perairan pantai timur Sabah.

Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sudah tiba masa untuk meningkatkan sistem keselamatan di negeri ini kerana difahamkan 80 peratus radar tidak berfungsi disebabkan tidak diselenggara dan ditambah baik.

Menurut beliau, ini bukan masa yang sesuai untuk menubuhkan jawatankuasa atau pasukan khas sebaliknya, sekarang masa untuk meningkatkan sistem keselamatan di negeri ini.

“Adakah kita serius menubuhkan jawatankuasa sedangkan kita faham dan tahu masalah yang ada?

“Sekiranya mereka nampak pasukan dan aset keselamatan seperti kapal perang mahupun helikopter ditempatkan di situ, saya yakin mereka (penjenayah) akan takut kerana nampak sistem pertahanan kita sangat kuat.

“Justeru, kerajaan kena bertindak secara serius agar jangan lagi berlaku insiden tidak diingini,” katanya selepas tinjauan mesra di Pasar Foh Sang hari ini.

Presiden Parti Warisan (Warisan) itu berkata, beliau tidak mengiktiraf tuntutan waris Kesultanan Sulu namun, kerajaan perlu mengambil tindakan serius menangani isu yang telah berlanjutan sekian lama.

Menurut beliau, tuntutan waris Sultan Sulu itu tidak diiktiraf kerana negara ini merupakan sebuah negara berdaulat.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, banyak cara lain untuk menangani isu tuntutan berkenaan seperti pendekatan perdagangan.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan penubuhan pasukan khas bagi menangani isu tuntutan waris Sultan Sulu, Sultan Jamalul Kiram II terhadap kerajaan Malaysia.

Penubuhan pasukan khas itu susulan keputusan timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol yang mengarahkan Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris Sultan Sulu.

Malaysia didakwa tidak membayar wang pemisah (pampasan) berjumlah RM5,300 setahun sejak 2013 maka, itu telah melanggar Perjanjian 1878 yang ditandatangani Sultan Jamal Al-Alam dan Baron De Overback dan Alfred Dent mewakili syarikat British Borneo Utara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN