menghantui Malaysia

7 juta kereta tersadai hantui Malaysia

KENDERAAN lama terbiar menyebabkan kekurangan petak letak kenderaan, halangan lalu lintas malah menjadi tempat pembiakan makhluk perosak. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih tujuh juta kereta dan lori buruk tersadai di seluruh negara berikutan ketiadaan dasar membabitkan pelupusan kenderaan lama itu.

Keadaan itu juga menyebabkan di ba­nyak kawasan perumahan dan kemuda­han awam menjadi tempat lambakan ken­deraan berkenaan sehingga mengganggu masyarakat setempat.

Pendedahan itu dibuat sekumpulan pe­nyelidik Universiti Kebangsaan Malay­sia (UKM) membabitkan kajian berke­naan End of Life Vehicle (ELV).

Salah seorang penyelidik, Prof. Dr. Rozmi Ismail berkata, penyelidikan tersebut merupakan satu keperluan pada ketika ini memandangkan jumlah kenderaan buruk tersadai yang semakin bertambah setiap hari.

“Bayangkan apa akan berlaku dalam 20 tahun lagi, jika pemilik tidak ada kesedaran untuk melupuskan kenderaan masing-masing.

“Sudah tentu fenomena ini mencacatkan pemandangan sekitar dengan keadaan kereta-kereta yang sudah lama dibiarkan mereput di bahu-bahu jalan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ujar Rozmi yang juga Pakar Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, apa yang lebih membimbangkan, kenderaan-kenderaan tersadai itu sebenarnya mendatangkan pencemaran kepada alam secara tidak langsung.

“Kenderaan yang ditinggalkan dengan keadaan masih mempunyai minyak enjin dan sebagainya mampu melepaskan bahan kimia ke udara sekaligus mewujudkan persekitaran yang tidak sihat.

“Lama-kelamaan ia akan mencemarkan alam sekitar serta kesihatan masyarakat sekeliling kerana kualiti udara yang tidak sihat. Itu belum lagi kita ambil kira keadaan kereta yang duah kotor dan buruk akan menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes yang akhirnya akan menyebabkan kejadian denggi berlaku,” luahnya.

Untuk rekod,  jumlah kende­raan berdaftar di negara ini sebanyak 33 juta iaitu hampir menyamai bilangan penduduk di negara ini. Malah, jumlah kenderaan berdaftar itu juga merupakan yang tertinggi di Asia Tenggara. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN