7 ditahan disyaki terlibat kes tembak ahli perniagaan - Utusan Malaysia

7 ditahan disyaki terlibat kes tembak ahli perniagaan

AZMI ABU KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menahan tujuh lelaki bagi membantu siasatan berkaitan kes bekas ahli perniagaan ditembak mati selepas pulang bermain mahjong dari rumah rakannya di Amarin Kiara, dekat sini pada 11 Julai lalu.

Kesemua suspek berusia 27 hingga 43 tahun itu ditahan secara berasingan di Johor Bahru, Johor dan Ipoh, Perak pada Khamis serta Jumaat lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, dalam serbuan di Johor Bahru , empat lelaki ditahan di hadapan sebuah restoran di Taman Nusa Bayu lskandar Putri pada Khamis lalu.

“Susulan itu, kita tahan tiga lagi lelaki pada pukul 3.45 pagi di Taman Pulai Jaya dan Bandar Baru Putra di Ipoh, Perak pada Jumaat lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azmi berkata, pihaknya turut merampas enam telefon bimbit, kereta Kia Optima K5 dan kereta Proton Wira dalam tangkapan itu.

“Semakan lanjut mendapati tiga daripada empat suspek itu mempunyai rekod berkaitan kes jenayah dan dadah.

“Motif kejadian itu masih dalam siasatan dan semua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Justeru, kata beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Haljah Ajar di talian 019-6018267.

“Orang ramai juga boleh menghubungi Bilik Gerakan Siasatan Jenayah di talian 03-21460685 dan Hotine Polis Kuala Lumpur 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Pada 12 Julai lalu, media melaporkan bekas ahli perniagaan ditembak mati selepas pulang bermain mahjong dari rumah rakannya di Amarin Kiara, di sini. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN