PUTRAJAYA: Sebanyak 30,311 notis penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 direkodkan untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini, berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Jumlah terbabit melibatkan Bil Notis Seksyen 32B dikeluarkan Januari hingga Jun di mana tahun lalu, sebanyak 6,111 notis direkodkan selain 2020 (16,844); 2019 (21,876) dan 2018 (24,544).
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, bagi enam bulan pertama tahun ini, ia merekodkan bilangan penguatkuasaan paling banyak dilaksanakan terhadap peraturan larangan merokok di tempat awam.
“Tahniah kepada penguat kuasa Sektor Inspektorat dan Perundangan Kementerian Kesihatan. Insya-Allah, Julai sehingga Disember lagi hebat dan dahsyat,” katanya dalam ciapan Twitter hari ini.
Sebelum ini, Khairy memberi komitmen untuk melaksanakan undang-undang melarang penjualan tembakau dan produk rokok lain kepada sesiapa yang dilahirkan selepas 2005.
Seperti beberapa Pejabat Serantau bagi Pasifik Barat (WPRO) di negara lain, Malaysia berharap untuk meluluskan undang-undang pada tahun ini yang akan membawa kepada generasi tidak merokok.
Ia dengan melarang penjualan tembakau dan produk rokok lain kepada sesiapa yang dilahirkan selepas 2005 dan Malaysia merasakan ia memberi impak besar dalam mencegah dan mengawal penyakit tidak berjangkit (NCD). – UTUSAN









