PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menganugerahkan Taraf Kewarganegaraan Malaysia mengikut Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan kepada 29 lagi penerima, hari ini.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan Taraf Kewarganegaraan Malaysia yang diberikan mengikut Perkara 15A sejak Januari lalu adalah seramai 487 penerima.
“Sejak Januari lalu hingga kini, kita sudah berikan kepada 335 penerima bumiputera, 139 penerima bukan bumiputera dan 13 penerima lain-lain,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Keputusan Kewarganegaraan, hari ini.
Terdahulu, seramai 29 penerima menerima Taraf Warganegara Malaysia yang terdiri daripada kanak-kanak dan dewasa berusia 21 tahun ke bawah.
Hamzah berkata, Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada kerajaan Persekutuan dalam sesuatu hal keadaan khas, mendaftarkan seseorang yang berumur kurang daripada 21 tahun sebagai warganegara.
Menurutnya, penerima Taraf Kewarganegaraan Malaysia ini adalah sebahagian daripada pemohon yang telah kerajaan pertimbangkan sebagai layak berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan perundangan yang berkuat kuasa.
“Pemberian taraf kewarganegaraan ini merupakan anugerah tertinggi Kerajaan Persekutuan dan diharap mereka akan menjadi rakyat yang bertanggungjawab,” katanya.
Katanya, pihaknya mengakui menerima permohonan yang banyak, namun ia diberikan selepas melalui proses yang lama dan berdasarkan bukti-bukti tertentu.
Jelasnya lagi, beliau juga akui ada pihak yang menyalahkan KDN, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana mengambil masa terlalu lama untuk memproses permohonan taraf warganegara itu.
“Saya menyeru kepada rakyat Malaysia terutama yang berkahwin dengan warga asing supaya mendaftarkan perkahwinan mereka supaya tidak timbul masalah di kemudian hari,” katanya. – UTUSAN