2 lelaki didenda RM800, RM1,000 buat laporan palsu

2 lelaki didenda RM800, RM1,000 buat laporan palsu

CHIN Chen Yee (kiri) didenda RM800 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membuat laporan polis palsu pada 3 Julai lalu manakala R. Kumaraguru dihukum penjara lima hari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru selepas mengaku bersalah atas pertuduhan sama pada 4 Julai lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dua lelaki yang melakukan kesalahan sama, iaitu membuat laporan polis palsu masing-masing dijatuhi hukuman denda RM800 dan RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini.

Seorang pengurus syarikat, Chin Chen Yee, 44, dijatuhi hukuman denda RM800 atau dihukum penjara selama sebulan jika gagal bayar denda berkenaan selepas mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurmadiana Mamat.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Chen Yee didakwa membuat laporan polis palsu menyatakan beg silang miliknya yang mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad ATM dan wang tunai RM500 diragut dua lelaki menunggang sebuah motosikal di Taman Sutera Utama, di sini pada pukul 10.45 malam, 3 Julai lalu.

Sementara itu, seorang penganggur, R. Kumaraguru, 31, pula dijatuhi hukuman penjara lima hari dan denda RM1,000, atau hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret, Mohd. Zulhilmi Ibrahim.

Kumaraguru didakwa membuat laporan polis palsu dengan mendakwa dompet miliknya yang mengandungi kad pengenalan, kad ATM berserta wang tunai RM180 disamun di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai pada pukul 7.30 pagi, 4 Julai lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes Chen Yee dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad, manakala pendakwaan bagi kes Kumaraguru dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Arif Marzuki Danial Munir.

Siasatan polis mendapati kedua-dua tertuduh membuat laporan palsu bertujuan mengelak dikenakan denda oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana kehilangan kad pengenalan milik mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya