16 pesawat ke KLIA dilencongkan akibat cuaca buruk - Utusan Malaysia

16 pesawat ke KLIA dilencongkan akibat cuaca buruk

TANGKAP layar daripada laman web FlightRadar24 menunjukkan sejumlah penerbangan domestik dan antarabangsa terpaksa dilencongkan dari KLIA semalam ekoran cuaca buruk di Lembah Klang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah 16 penerbangan yang menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang terpaksa dilencongkan susulan cuaca amat buruk malam tadi.

Menurut laman penerbangan ternama global, FlightRadar24, hujan lebat dan ribut petir di Lembah Klang sejak lewat petang itu ternyata membahayakan operasi pendaratan pesawat.

Pesawat dilencongkan bermula dengan Malaysia Airlines Berhad (MAB) penerbangan MH720 dari Jakarta, Indonesia yang sepatutnya dijadualkan mendarat di KLIA pukul 7.25 petang, ia diubah haluan ke Bayan Lepas, Pulau Pinang diikuti lima minit kemudian sebuah pesawat AirAsia penerbangan AK392 dari Medan, Indonesia dilencongkan ke Senai, Johor.

Ini disusuli empat buah pesawat MAB iaitu MH1397 dari Kota Bharu, Kelantan; MH171 dari Kathmandu, Nepal; MH759, Ho Chi Minh City, Vietnam dan MH2593 dari Miri, Sarawak.

Kesemua penerbangan itu dilencongkan masing-masing ke Senai (7.35 petang); Langkawi, Kedah (7.40 petang); Senai (7.40 petang) dan Changi, Singapura (7.40 petang).

Pesawat Emirates EK448 dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) diubah ke Bayan Lepas, manakala Singapore Airlines SQ126 terpaksa berpatah balik ke Changi.

Tiga buah pesawat AirAsia iaitu AK513 dar Hanoi, Vietnam dilencongkan ke Langkawi selain AK6317 dari Langkawi dan AK6439 dari Kota Bharu diubah haluan ke Subang, Selangor.

Selepas pukul 8 malam, pesawat Batik Air ID6018 dari Jakarta, Indonesia dilencongkan ke Medan manakala MAB penerbangan MH2645 dari Kota Kinabalu, Sabah diubah ke Senai.

Penerbangan AK827 dari Phuket, Thailand dan MH122 dari Sydney, Australia dilencongkan ke Bayan Lepas namun MH1058 dari Senai pula telah diarahkan berpatah balik.

Situasi ribut yang reda semula selepas pukul 8.20 malam tadi membolehkan semua pesawat termasuk penerbangan luar negara kembali normal untuk melakukan pendaratan di KLIA.

Dalam pada itu, keadaan cuaca buruk menurut FlightRadar24 turut mengakibatkan semua penerbangan berlepas agak lewat daripada jadual dengan ada merekodkan sejam ditunda.

Antaranya MH1252 ke Alor Setar, Kedah dan Etihad Airways EY411 ke Abu Dhabi, UAE  sepatutnya bertolak 7.10 petang tetapi masing-masing terbang 8.11 malam dan 8.22 malam.

Begitu juga Batik Air OD223 ke Dhaka, Bangladesh; Thai Airways TG418 ke Bangkok, Thailand dan Royal Brunei BI874 ke Bandar Seri Begawan yang direkodkan terlewat lebih sejam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN