1,475 sertai Ironman 70.3 Desaru Coast

1,475 sertai Ironman 70.3 Desaru Coast

Sebahagian daripada 1475 peserta memulakan renangan sejauh 1.9 km diikuti berbasikal 90 km dan berlari 21.1 km sempena Ironman 70.3 Desaru Coast di Desaru, Kota Tinggi, Johor pagi ini. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Seramai 1,475 atlet dari 50 negara memulakan cabaran sukan ekstrem, Ironman 70.3 Desaru Coast seawal pukul 7.05 pagi tadi.

Upacara pelepasan disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi  yang menyaksikan para peserta memulakan cabaran menerusi acara renang sejauh 1.9 kilometer (km). 

Yang turut hadir, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Malaysia merekodkan jumlah peserta paling ramai dengan 604 atlet, diikuti Singapura dengan 349 atlet. 

Penyertaan dari negara lain antaranya Indonesia, Filipina, India, Jepun, Australia, New Zealand, Perancis, Great Britain dan Amerika Syarikat.

Kesemua peserta Ironman 70.3 Desaru Coast perlu mengharungi tiga disiplin iaitu berenang sejauh 1.9km, berbasikal 90km dan larian 21.1km.

Penglibatan atlet Ironman kebangsaan, Lim Chee Yong, 25, mencuri tumpuan setelah anak kelahiran Langkawi itu menyasarkan untuk menamatkan acara di bawah 4 jam 50 minit. 

Masa terbaik yang direkodkan oleh peserta termuda yang menyertai Ironman World Championship pada 2018 itu ialah 5 jam 1 minit ketika beraksi di 70.3 Ironman Langkawi pada 2019.

Sempena penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa itu turut diadakan acara pembuka tirai, iaitu Iron Kids yang menyaksikan penyertaan 122 kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia tujuh hingga 10 tahun pada Jumaat lalu. 

Turut diadakan ialah acara 5150 Triathlon Desaru Coast yang berlangsung semalam menyaksikan atlet kebangsaan, Nigel Ng Kar Kean, 19, dan Mayumi Shinozuka, 21, mengungguli kategori masing-masing.

Bagi acara Desaru Coast Sprint Triathlon pula, acara wanita dikuasai oleh peserta negara manakala kategori lelaki dikuasai peserta dari Singapura. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN