JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamarudin akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Larry Sng Wei Shien hari ini bagi membincangkan mengenai keahliannya.
Naib Presiden Kanan PBM, Steven Choong Shiau Yoon berkata, dalam masa terdekat juga dijangka diadakan mesyuarat bagi memperkenal Zuraida sebagai muka baharu dalam PBM.
Katanya, buat masa ini, parti itu dan Zuraida perlu mencapai kesepakatan bagi memberikan jawatan sesuai kepadanya untuk menerajui PBM bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Kita tidak boleh memberikan jawatan utama kepadanya begitu sahaja, haruslah menunggu mesyuarat agung bagi membolehkan pemilihan dilakukan.
“Kita perlu berikan jawatan yang sesuai supaya rakyat nampak dia boleh menerajui parti, membantu Presiden untuk melakukan gerak kerja berimpak besar dalam politik serta mengemudi penyokong di peringkat akar umbi.
“Ada cadangan untuk memberikan jawatan sebagai Ketua Umum seperti yang diwujudkan oleh PKR kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim suatu ketika dahulu, saya tak pasti dia akan terima atau tidak,” katanya kepada pemberita hari ini.
Pada 26 Mei lalu, Zuraida mengumumkan keluar daripada parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menyertai PBM setelah membuat pertimbangan dengan teliti dan mendalam.
Beliau percaya perjuangan PBM dan amat tertarik dengan enam prinsip terasnya antaranya keterlibatan pelbagai kaum, pemberdayaan wanita dan pemerkasaan anak muda.
Steven Choong yang juga Pengerusi PBM Johor berkata, kemasukan Zuraida menyertai parti itu disambut baik oleh semua ahli di setiap peringkat.
Katanya, bekas Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) itu adalah ahli politik yang dikenali ramai dan mempunyai aura tersendiri selain komited dalam menggalas tanggungjawab yang diberikan.
“Saya tidak dengar sebarang bantahan tentang penyertaannya untuk PBM malah kami menerimanya dengan tangan terbuka. Apa tidaknya, dia adalah aset berharga buat kami,” ujarnya. – UTUSAN