Zuraida harap kekal dalam Kabinet 

Zuraida harap kekal dalam Kabinet 

ZURAIDA Kamaruddin (tengah) bersama peserta program Pemerkasaan Wanita di Peringkat Akar Umbi di Sungai Siput, Kuala Kangsar,Perak, hari ini. - FOTO/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin berharap dapat kekal memegang jawatan menteri dalam Kabinet.

Beliau berkata, pengekalannya dalam Kabinet membolehkan semua program dan perancangan yang dimulakan ketika memegang portfolio Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dapat dilaksanakan dengan baik.

“Perdana Menteri telah umum dalam media (tentang perjumpaan itu) pada minggu depan. Saya harap ada khabar baik (untuk) kekal jawatan supaya boleh habiskan program dan perancangan yang telah saya mulakan.

“(Pengekalan itu juga) untuk stabilkan negara dan Kabinet. Jadi, dapatlah kita sempurnakan dan laksanakan apa yang telah dirancang,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan program Pemerkasaan Wanita di Peringkat Akar Umbi anjuran Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (COMWEL), di sini hari ini.

Menerusi laporan media pada Khamis lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, satu pertemuan akan diadakan dengan Zuraida pada minggu hadapan bagi membincangkan soal kedudukannya dalam Kabinet.

Menurut Ismail Sabri, pertemuan itu mungkin berlangsung sebelum atau selepas mesyuarat Jemaah Menteri yang lazimnya diadakan pada setiap Rabu.

Zuraida sebelum ini mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM). 

Kedudukan beliau sebagai menteri sekali gus menjadi tanda-tanya apabila Bersatu mendakwa pelantikan beliau adalah atas kuota parti itu.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan beliau berkata, Zuraida yang juga Presiden Pengganti PBM berkata, pihaknya yakin parti itu mempunyai peluang untuk meletakkan calon bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, sebagai contoh di Perak, PBM juga mempunyai sasaran namun belum membuat sebarang keputusan berkaitan perkara itu. 

“Pada keseluruhannya, keadaan politik negara tidak menonjolkan satu-satu parti yang dominan. Maksudnya, semua yang masuk, baru atau lama, yang tua atau muda semua ada peluang. 

“Ia adalah bagaimana kita merancang pendekatan politik bagi mendapat sokongan pengundi. Ibarat pasaran terbuka, bagaimana untuk kita jual sesuatu produk,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN