PASIR MAS : Seorang warga emas, Zawiyah Sulong, 68, tekad menjaga tiga cicitnya sehingga akhir hayat selepas mereka kehilangan ibu tersayang yang ditemukan mati dengan kesan tembakan pada bahagian perut di Kampung Teresek, di sini pada Sabtu.
Zawiyah berkata, dia akan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan ketiga-tiga cicitnya itu mendapat kasih sayang dan membesar seperti kanak-kanak lain sebaya mereka.
Katanya, walaupun tugas itu nampak berat namun ia bukan satu alasan untuk tidak berusaha dalam menjalankan tanggungjawab tersebut kerana ia satu amanah.
“Saya berdoa semoga Allah terus memberikan kesihatan yang baik untuk memastikan tugas membesarkan kesemua mereka iaitu Mohamad Mustaqim Darwish Mustafa, 10; Nur Felissa Edriana, 5, dan Mohamad Putra Faliq, 3, sebaik mungkin.
“Saya harus kuat, ini kerana ia adalah tugas yang perlu dilaksanakan dengan sebaiknya selepas arwah pergi buat selamanya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Zawiyah memberitahu, dia turut berpesan kepada anak-anak yang lain untuk terus mengambil berat ke atas ketiga-tiga beradik itu.
Katanya, dia akan berbincang dengan menantunya yang juga ibu mangsa, Siti Haja Said, 47, mengenai penjagaan ke atas ketiga-tiga beradik itu supaya hubungan kekeluargaan terus kekal kukuh.
“Ketiga-tiga beradik ini sangat rapat dengan arwah ibu mereka, malah tidak pernah berenggang. Sejak kejadian ini, sayalah tempat mereka bermanja dan menjadi peneman tidur, terutama yang bongsu,” ujarnya.
Utusan semalam melaporkan seorang wanita yang hamil tujuh bulan maut selepas ditembak dalam kejadian di Kampung Teresek, Repek di sini.
Mayat Farrah Emirah Mazlan, 26, ditemukan dalam keadaan terbaring di tempat duduk pemandu dengan kesan tembakan di bahagian perut sebelah kiri hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh pihak polis.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 4 petang berhubung penemuan mayat seorang wanita di dalam sebuah kereta jenis Nissan Cefiro yang diparkir di tepi jalan. – UTUSAN