Wajah baharu perlu ada ‘muka lama’ sikit - Mahdzir - Utusan Malaysia

Wajah baharu perlu ada ‘muka lama’ sikit – Mahdzir

MAHDZIR Khalid (tengah) ketika hadir pada perasmian sambutan Jubli Emas Kejora di Pantai Tanjung Balau, Bandar Penawar di Kota Tinggi, hari ini. - UTUSAN/MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Campuran calon muka baharu dan muka lama dilihat sebagai strategi yang dapat memperkukuhkan kepercayaan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, gabungan kedua-dua golongan itu amat diperlukan dan proses pemilihan tersebut cukup penting.

“Campur-campurlah kena ada orang yang muda sikit, orang tua pun ada juga. Orang tua itu tidaklah tua sangat, orang lama juga,” katanya selepas merasmikan sambutan Jubli Emas Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) di Pantai Tanjung Balau, Bandar Penawar hari ini.

Terdahulu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Konvensyen BN semalam mahu BN mewajahkan semula parti itu termasuk menampilkan lebih ramai muka-muka baharu sebagai wajah hadapan BN.

Katanya, kebangkitan BN di siri-siri kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) membuktikan rakyat mahu parti itu kembali namun dengan wajah yang baharu.

Jelasnya, BN perlu melakukan anjakan paradigma dengan proses pengislahan dalaman dan membuat tawaran yang dapat meneruskan keterujaan rakyat untuk kembali memberikan sokongan.

Sementara itu, Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar menjelaskan, beliau belum lagi dipanggil berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pembubaran Parlimen yang sekali gus memberi ruang kepada PRU-15.

“Belum bincang lagi (bubar Parlimen) tetapi akan ada perbincangan, insya-Allah. Saya tak pasti (bila), dia (Perdana Menteri) tidak panggil lagi. Kalau dia panggil saya pergi dan saya akan beritahu,” katanya.

Sewaktu berucap pada Konvensyen BN, Ismail Sabri bersetuju untuk berbincang dengan ‘Top Five UMNO’ (kepimpinan tertinggi) bagi menentukan tarikh pembubaran Parlimen.

Top Five merujuk kepada Ahmad Zahid; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Mahdzir dan Ismail Sabri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya