Pemandu Myvi positif dadah punca lima kenderaan terlibat kemalangan - Utusan Malaysia

Pemandu Myvi positif dadah punca lima kenderaan terlibat kemalangan

DUA daripada lima buah kereta yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 243.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di Seremban semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pemandu kereta Myvi dipercayai positif dadah sebelum hilang kawalan dan terlibat dalam kemalangan melibatkan lima buah kenderaan di Kilometer 243.3 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di sini semalam.

Kejadian kemalangan itu turut tular di media sosial dan mendapat reaksi warganet.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, siasatan awal mendapati kemalangan pada pukul 10.40 pagi itu dipercayai berlaku ketika sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun dari arah Seremban menuju ke selatan.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dipandu mangsa telah hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang sebuah kereta jenis Toyota Avanza yang dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun yang berada di hadapannya ketika itu.

RAKAMAN video kemalangan di Kilometer 243.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di Seremban semalam selepas sebuah Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki hilang kawalan. – MEDIA SOSIAL

“Pelanggaran tersebut menyebabkan Toyota Avanza turut hilang kawalan sehingga berpusing beberapa kali serta terbabas ke lorong kiri lalu melanggar dua lagi kenderaan iaitu Proton Saga dipandu wanita berusia 40 tahun dan Proton Persona yang dipandu lelaki berusia 35 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nanda, akibat pelanggaran pertama yang berlaku di antara Perodua Myvi dan Toyota Avanza telah menyebabkan tayar bahagian belakang kiri Toyota Avanza tercabut.

“Tayar berkenaan terpelanting masuk ke laluan arah bertentangan dan terkena sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu lelaki berusia 32 tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Nanda berkata, pemandu Myvi berusia 28 tahun itu dipercayai memandu di bawah pengaruh dadah sebelum berlaku kemalangan.

“Urin lelaki itu telah diambil dan didapati positif dadah dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Tambah beliau, kes kemalangan itu disiasat di bawah Peraturan 10 LN 166/59.

Semalam tular video yang memaparkan sekumpulan lelaki bermotosikal merakam keadaan pemandu Myvi tersebut yang dilihat kurang waras yang mengaku sebagai Imam Mahdi dan mengucap kalimah syahadah.

Selain itu, turut ditemukan perkakas dipercayai untuk menghisap dadah dalam kereta lelaki itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.