TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melancarkan siri nombor pendaftaran kenderaan ‘UG’ bermaksud ‘Universiti Guru’ yang mula dibuka untuk bidaan untuk orang ramai bermula esok.
Pelancaran siri nombor pendaftaran kenderaan UG itu disempurnakan oleh Tuanku Canselor UPSI, Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim baru-baru ini.
Naib Canselor UPSI yang juga Ahli Lembaga Pengarah UPSI Holding Sdn Bhd. (UHSB), Profesor Datuk Dr Md Amin Md. Taff berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi menyahut hasrat kerajaan membantu penjanaan kewangan universiti menerusi pelaksanaan oleh anak syarikat, UHSB dengan kerjasama syarikat tempatan Aquatwo Sdn. Bhd.
“Orang ramai boleh mula membida nombor plat kenderaan yang mereka minat dengan mengisi borang bidaan melalui pautan laman web www.ugplat.com.my yang dibuka bermula 1 Julai hingga 12 Julai.
“Borang bidaan perlu dihantar terus ke pejabat UHSB di Aras 1, Bangunan Bitarasiswa, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan,” jelasnya dalam suatu kenyataan.
Satu majlis menandatangani kerjasama dengan Aquatwo Sdn. Bhd. yang menjadi rakan strategik pengurusan pembidaan siri nombor pendaftaran kenderaan itu diadakan di sini baru-baru ini.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UHSB, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan; Pengarah Urusan Aquatwo Sdn. Bhd., Datuk Muhammad Muqarrabin Mokhtarudin; Timbalan Naib Canselor UPSI, Profesor Dr. Marzita Puteh; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UPSI, Profesor Madya Dr. Norkhalid Salimin; Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed dan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Profesor Madya Dr Mohd Izwan Shahril. – UTUSAN