PUTRAJAYA: Ujian pengesanan RT-PCR Covid-19 di fasiliti Kementerian Kesihatan bagi jemaah haji Malaysia akan dilaksanakan secara percuma.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, bagi jemaah haji yang memilih untuk menjalani ujian di fasiliti kesihatan swasta, mereka perlu menanggung sendiri kos ujian tersebut mengikut caj yang dikenakan.
Katanya, keputusan pelaksanaan ujian PCR secara percuma itu susulan kerajaan Arab Saudi telah memperuntukkan kuota haji sebanyak 14,306 orang kepada Malaysia.
“Bagi memastikan operasi haji dilaksanakan dengan selamat dan lancar, Arab Saudi telah menetapkan prosedur pencegahan dan pengawalan penyakit yang ketat susulan daripada pandemik Covid-19.
“Semua jemaah haji perlu disahkan negatif Covid-19 menerusi ujian pengesanan RT-PCR dalam tempoh 72 jam sebelum ketibaan di Tanah Suci seperti yang ditetapkan Arab Saudi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khairy berkata, jemaah haji boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Pejabat Tabung Haji Daerah untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan perkara itu termasuk senarai fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan yang menyediakan perkhidmatan ujian RT-PCR.
Media melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, penerbangan pertama bagi jemaah haji Malaysia pada tahun ini dijangka pada 4 Jun ini, berbanding perancangan awal pada 31 Mei, berikutan pengurangan jumlah jemaah yang akan menunaikan Rukun Islam kelima itu berbanding kebiasaannya.
“Bagi tahun-tahun sebelum ini jumlah jemaah haji kira-kira 30,000 orang. Namun pada tahun ini, jumlah jemaah hanya 14,000 orang,” katanya.
Dalam masa yang sama, Malaysia juga masih menunggu keputusan Kerajaan Arab Saudi berhubung rayuan kuota tambahan 5,000 jemaah, bagi musim haji kali ini. – UTUSAN









