JOHOR BAHRU: Juri Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan 1443H/ 2022M berpuas hati dengan persembahan para peserta yang memperdengar bacaan dan hafazan mereka setakat ini.
Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd. Hosni berkata, rata-rata peserta berjaya menguasai hafazan dengan baik mengikut tahap dan kategori masing-masing.
“Bagi hafazan, para peserta dapat menunjukkan peningkatan dari sudut hafaz dan lancar. Kita harapkan anak-anak ini terus mengekalkan hafazan mereka untuk lebih cemerlang pada masa akan datang.
“Penilaian dan penjurian dibuat berdasarkan kelancaran hafazan peserta terbabit, sama ada bacaan bersangkut atau lupa menyambung ayat, itu antara yang kita nilai,” katanya di sini, semalam.

Dalam pada itu, Imam Besar Masjid Negeri Johor, Makhadzir Abdan berkata, semua peserta hafazan setakat ini menguasai tajwid dengan baik.
Sebagai juri tajwid, beliau turut memberi teguran supaya para peserta memberi penekanan terhadap hukum Mad dan Nun Syiddah yang kurang diberi perhatian.
“Saya tekankan hukum Mad dan Nun Syiddah yang mana peserta kurang mengambil berat perkara ini kerana terlalu tumpukan pada hafazan. Saya ingatkan para peserta selepas ini, fokus dalam perkara ini,” katanya.
Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang memasuki hari keempat menyaksikan lebih separuh dari 113 peserta dari seluruh negara memperdengar bacaan dan hafazan mereka.
Daripada jumlah itu, 29 peserta menyertai Majlis Tilawah al-Quran, manakala 84 orang bagi Majlis Hafazan al-Quran yang terbahagi kepada tiga kategori, iaitu 10, 20 dan 30 juzuk.
Para peserta dinilai oleh barisan 12 hakim bagi acara tilawah dan 14 juri bagi acara hafazan yang berkaliber dan berpengalaman dalam bidang masing-masing.
Barisan juri diketuai Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd. Yusoff.
Barisan juri akan mengambil kira aspek kelancaran (fasohah) bacaan dan hafazan masing-masing, hukum tajwid, kelunakan suara, persembahan dan tarannum. – UTUSAN










