Terengganu arah sampel air tercemar di Pulau Perhentian diambil untuk analisis - Utusan Malaysia

Terengganu arah sampel air tercemar di Pulau Perhentian diambil untuk analisis

ARIFFIN DERAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri mengarahkan jabatan terlibat untuk segera mengambil sampel air yang didakwa tercemar dengan sisa kumbahan tidak dirawat di Pulau Perhentian bagi dianalisis di makmal.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, langkah itu bertujuan mengenal pasti punca sebenar kejadian yang menyebabkan beberapa pelancong keracunan makanan ketika bercuti di pulau peranginan itu, baru-baru ini.

Katanya, kerajaan negeri memandang serius hal itu terutama apabila melibatkan soal keselamatan pelancong.

“Arahan itu dikeluarkan dalam mesyuarat khas tindakan daerah Besut yang antara lain turut menggesa pemantauan lanjut terhadap isu yang tular.

“Jika dakwaan itu benar, tentunya memberikan imej negatif terhadap industri pelancongan negeri sekali gus menjejaskan keyakinan pengunjung untuk ke pulau-pulau peranginan di Terengganu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini, enam sahabat mendakwa keracunan makanan apabila mengalami muntah selepas berenang di perairan Pulau Perhentian Kecil yang dipercayai tercemar dengan sisa kumbahan tidak dirawat.

Bagaimanapun, setakat ini difahamkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Besut belum menerima sebarang laporan berhubung kes itu.

Sementara itu, Ariffin berkata, berdasarkan rekod JKNT, tiada kejadian keracunan makanan dikesan di Pulau Perhentian dalam tempoh 2021 hingga semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN