PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan optimis dengan penggunaan teknologi moden yang mampu menarik minat belia tempatan menceburi kerjaya agromakanan.
Keyakinan itu disuarakan oleh Timbalan Menteri I, Datuk Seri Ahmad Hamzah dalam usaha pihak kerajaan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing datang ke negara ini.
Pada masa sama, beliau meminta firma besar mengikis tanggapan negatif kononnya remaja Malaysia enggan bekerja sektor pertanian kerana kotor, bahaya dan sukar atau disebut 3D.
“Saya percaya dengan penggunaan banyak teknologi terkini, ia bukan sahaja dapat tingkat pengeluaran hasil, malah akan pikat ramai anak muda menyertai kerjaya pertanian,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Pemadanan Pekerjaan Subsektor Tanaman anjuran oleh Jabatan Pertanian di Wisma Tani, di sini hari ini.
Baru-baru ini, Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Plantation Berhad, Mohd. Helmy Othman Basha mendedahkan sikap belia tempatan tiada minat kerja di ladang kerana isu tertentu.
Antaranya perlu bangun awal pagi sebelum subuh, namun syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu juga serik menggaji pelarian Rohingya kerana mereka didapati amat malas bekerja di estet.
Keadaan tersebut menyaksikan seramai 156,334 pekerja dari luar negara berkhidmat dalam sektor pertanian secara aktif di seluruh Malaysia kerana tidak dapat diisi oleh warganegara.
Mengulas lanjut apabila ditanya mengenai perkara itu, Ahmad memohon majikan agar lebih meyakini kemampuan remaja negara ini sekali gus kurang bergantung kepada warga asing.
“Belia Malaysia bukan tidak suka kerja 3D terutamanya sektor tanaman, tetapi suasana dan budaya kerja perlu disesuaikan situasi semasa banyak kepada teknologi canggih,” jelasnya.
Justeru, pelbagai program latihan dan kemahiran dilaksanakan di pelbagai institusi pengajian sejajar dengan inisiatif Jabatan Pertanian bagi meningkatkan penggunaan teknologi tinggi.
Langkah itu ujar beliau lagi, selaras dengan sasaran pihak kementerian untuk mengurangkan sebanyak 10 peratus pekerja asing dalam sektor pertanian di Malaysia menjelang 2030 nanti.
Peluang baik tersebut sewajarnya direbut belia tempatan kerana ketika ini, pihak industri turut menganggarkan bidang tanaman amat memerlukan kira-kira 46,000 pekerja sepenuh masa.-UTUSAN
Ahmad malah memberi contoh sehingga 9 Jun lalu, terdapat sejumlah 17,425 kekosongan kerjaya dalam sektor pertanian telah diiklankan oleh majikan menerusi portal MyFutureJobs.
“Bayangkan 76 peratus daripadanya ialah subsektor tanaman meliputi pengurusan, teknikal, penyelia dan pekerja estet yang membuktikan prospek kerjaya adalah cerah,” katanya lagi.
Sehubungan itu, pihak kementerian amat positif terhadap masa depan bidang berkenaan dan berharap golongan belia tidak melepaskan peluang daripada membiarkan diisi warga asing.- UTUSAN










