PETALING JAYA: Bibit-bibit perpecahan mahupun perselisihan faham dalam kalangan umat Islam di negara ini boleh ditangani jika terus berpegang kepada al-Quran dan Sunnah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan sebarang perbezaan pendapat perlulah diselesaikan secara berhemah dan beretika berdasarkan ajaran agama.
Katanya, Islam sentiasa menyeru kepada kebaikan, meningkatkan solidariti dan mahabbah selaras dengan konsep tasamuh yang bermaksud toleran atau berlapang dada.
“Baru-baru ini, dunia Islam digemparkan dengan isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW di India melalui tindakan provokasi sehingga menggugat keharmonian masyarakat berlainan agama di negara berkenaan.
“Tindakan menghina Rasulullah SAW merupakan perkara amat sensitif dan menjadi kewajipan seluruh masyarakat Islam untuk bertindak balas mengikut kerangka tuntutan agama untuk mengelakkan kita terperangkap dengan mainan pihak tertentu yang ingin mencetuskan permusuhan antara penganut pelbagai agama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Seminar Ulama Asia Tenggara 2022 di Sunway Resort di sini hari ini.
Persidangan selama sehari itu menghimpunkan seramai 44 pemimpin dan tokoh agama dari 17 negara termasuk Setiausaha Agung Liga Dunia Islam, Sheikh Dr. Muhammad Abdul Karim Al-Issa.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, perpaduan dan kesatuan ummah perlu menjadi keutamaan umat Islam susulan peningkatan ancaman terhadap kesucian Islam kebelakangan ini.
Katanya, umat Islam perlu disedarkan yang usaha merealisasikan perpaduan perlu merentasi tembok pelbagai aliran pemikiran dan ideologi.
“Justeru, semua ulama dan ilmuwan Islam perlu berbincang, bermuafakat, bersatu dan menggembleng pemikiran masing-masing bagi menghasilkan penyelesaian kepada cabaran yang dihadapi umat Islam seluruh dunia,” katanya.
Terdahulu, Ismail Sabri berkata, penganjuran persidangan itu tepat ketika umat Islam masih berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk pertikaian sesama sendiri, provokasi pihak tertentu dan Islamophobia atau pandangan prejudis terhadap Islam. – UTUSAN