ALOR SETAR: Polis Kedah menghantar beberapa pegawainya bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung penahanan seorang lelaki Malaysia bersama senjata api jenis raifal dan ratusan peluru di Sadao, Thailand.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, sebagai negeri yang bertanggungjawab terhadap sempadan negara, pihaknya perlu mengetahui bagaimana modus operandi kes itu termasuk jika ada unsur ketirisan melibatkan pihak berkuasa di negara ini.
Katanya, siasatan lanjut kes tersebut bagi pihak Malaysia diketuai oleh Bukit Aman, manakala pegawai dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah hanya sebahagian daripada pasukan siasatan itu.
“Maklumat lanjut kes itu sebaiknya dirujuk kepada Bukit Aman atau Ketua Polis Negara kerana kita hanya membantu, tetapi untuk Polis Kedah kita juga ingin tahu modus operandi mereka atau adakah terdapat unsur ketirisan oleh polis atau mana-mana penguatkuasa di sempadan.
“Tapi kita sentiasa ketatkan sempadan yang bukan sahaja sejak insiden ini, faktanya bulan lepas saya dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah Kubang Pasu bahawa penguat kuasa negara jiran melahirkan kerisauan berlaku kesesakan lalu lintas sampai ke negara mereka apabila kita laksanakan pemeriksaan ketat,” katanya selepas Program Town Hall Discussion PDRM Kontinjen Kedah 2025 di sini, hari ini.
Akhir bulan lalu, seorang lelaki Malaysia berusia 42 tahun ditahan pada pukul 5.35 petang ketika sekatan jalan raya yang dijalankan oleh anggota Balai Polis Daerah Sadao.
Pemeriksaan ke atas kenderaan jenis Kia bernombor pendaftaran Malaysia itu menemui dua laras raifal M4; 300 butir peluru kaliber 5.56 mm; tujuh magazin peluru 5.56 mm; 100 butir peluru kaliber .45 mm dan 50 butir peluru kaliber 9 mm.
Sumber pasukan Keselamatan Thailand memberitahu Utusan Malaysia bahawa senjata api jenis rifel yang cuba diseludup ke negara ini dipercayai untuk kegunaan sindiket pengedaran dadah.
Mengulas lanjut, Adzli berkata, pihaknya tidak akan berkompromi sekiranya terdapat warga PDRM Kedah terlibat dalam ketirisan atau kecuaian membabitkan sindiket penyeludupan terutama senjata api dan dadah.
“Kita tak berkompromi, saya baru tanya Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) tahun ini sahaja kita sudah tahan kerja 56 orang di kontinjen Kedah atas pelbagai kesalahan, buka kertas siasatan pula lebih 100 kes, jadi apatah lagi kes libat ketirisan seperti ini memang tiada kompromi,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Polis Kedah akan terus melakukan pemeriksaan mengejut tanpa mengira waktu di asrama sekolah-sekolah bagi membendung gejala buli yang boleh meragut nyawa.
Kata Adzli, pemeriksaan itu tidak terhad kepada Pegawai Perhubungan Sekolah sahaja tetapi kesemua Ketua Polis Daerah perlu melakukan lawatan itu termasuk beliau sendiri. – UTUSAN










