JOHOR BAHRU: Pendedahan berani Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman membuktikan bahawa UMNO sedang berkecamuk dengan masalah dalaman, kata Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal.
Beliau berkata, pendedahan itu juga membongkar tindakan atau keputusan yang membelakangkan jutaan ahli parti tersebut di seluruh negara.
Katanya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bukan sahaja dilihat tidak konsisten dalam setiap kenyataan yang dibuat, malah sanggup untuk tidak bercakap benar kepada ahli parti demi kepentingan peribadi terutama apabila dikaitkan dengan kes mahkamah dihadapinya.
“Pendedahan Tajuddin bahawa Presiden UMNO mengadu kepadanya mengenai keengganan kerajaan PN membantu kes mahkamah membuktikan Tan Sri Muhyiddin Yassin seorang pemimpin yang bersih dan berintegriti.
“Ia juga membenarkan setiap kenyataan yang dibuat oleh Muhyiddin sebelum ini bahawa kluster mahkamah pernah meminta bantuan bagi menyelesaikan kes yang dihadapi,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Terdahulu, Tajuddin dilaporkan mendedahkan terdapat gerakan diketuai Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Najib Razak untuk menekan Ahmad Zahid agar meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO. – UTUSAN