Sindiket penipuan pendaftaran kad sim tumpas

Sindiket penipuan pendaftaran kad sim tumpas

SURINA Saad (kiri) menunjukkan mesin kad sim multiplexer yang digunakan sindiket yang dirampas dalam sidang akhbar di IPK Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Satu sindiket penipuan pendaftaran kad prabayar yang  membekalkan nombor kad sim tersebut kepada sindiket penipuan dalam talian lumpuh selepas diserbu polis di Taman Cahaya di sini, Rabu lalu.

Dalam serbuan kira-kira 5.40 petang itu, polis menahan empat lelaki dan tiga wanita warga tempatan berusia lingkungan 19 hingga 35 tahun.

Polis turut merampas pelbagai barangan antaranya 15 monitor, unit pemprosesan komputer (14), papan kekunci (13), peralatan sim card multiplexer (51), kad sim Hotlink (2,149), kad sim Umobile (935), telefon pintar (23) serta masing-masing satu pemacu kilat, tablet dan modem yang dianggarkan bernilai RM130,000.

Difahamkan kes itu adalah yang pertama di Perlis sekali gus pihak berkuasa turut berjaya mematahkan salah satu jaringan penipuan online yang beroperasi di negara ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, ketika serbuan, kesemua suspek sedang mengendalikan beberapa buah mesin dan komputer yang sering digunakan dalam aktiviti judi dalam talian.

“Bagaimanapun, siasatan awal mendapati tiada unsur perjudian online namun pemeriksaan lanjut pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial berjaya mengesan kewujudan peralatan sim box multiplexer.

“Peralatan sim box multiplexer itu digunakan bagi mengaktifkan nombor kad prabayar yang didaftarkan tanpa melalui proses One Time Pin (OTP),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini hari ini.

Tambah Surina, siasatan mendapati sindiket berkenaan membeli kesemua kad sim tersebut daripada pembekal syarikat telekomunikasi secara sah di negara ini.

Katanya, sindiket yang aktif sejak awal tahun ini kemudiannya memasukkan data peribadi warga tempatan dan warga asing yang dibekalkan daripada sindiket lain lalu mendaftarkan kad sim tersebut.

“Biasanya, kad sim yang didaftarkan akan mendapat OTP yang dihantar kepada pemegang kad namun sindiket tersebut menggunakan peralatan sim card multiplexer bagi melangkau proses tersebut.

“Nombor kad sim yang diaktifkan itu akan dijual kepada satu lagi sindiket yang menjalankan aktiviti jenayah komersial,” jelasnya.

Tambahnya, pihak polis yang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia sedang melengkapkan kertas siasatan kes tersebut.

Katanya, semua suspek direman selama tiga hari bermula 23 hingga 25 Jun dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 239 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana memiliki kelengkapan peranti tidak standard.

Dalam perkembangan sama, Surina tidak menolak kemungkinan kes penipuan online itu termasuk menggunakan namanya baru-baru ini dengan menggunakan modus operandi sama seperti ini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya