orang muda

Shabudin tidak tanding PRU15, beri laluan orang muda

SHABUDIN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi memberi laluan kepada orang muda untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Bekas Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang itu berkata, walaupun tidak akan bertanding mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen, beliau tetap akan menggunakan pengalaman sebagai ahli politik untuk membantu parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri.

”Saya bercadang bersara daripada jawatan politik tetapi masih bergiat dalam politik cuma tidak lagi menjadi wakil rakyat.

“Saya sudah empat penggal, orang kata just nice (sedang elok) untuk beri laluan kepada pucuk muda, orang muda lebih energetik (bertenaga) dan keputusan ini juga boleh memberi orang muda lebih peluang dalam politik,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT) Kali ke sembilan dan Pengundian Pemilihan Anggota Lembaga Koperasi 2022 di sini hari ini.

Untuk rekod, Shabudin menjadi ADUN Permatang Berangan sebagai wakil rakyat UMNO selama dua penggal iaitu bermula 2004 hingga 2008.

Selepas itu, beliau bertanding kerusi Parlimen Tasek Gelugor atas tiket UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan PRU-15.

Bagaimanapun, selepas berlaku tsunami politik pada PRU-15, Shabudin mengumumkan keluar daripada UMNO pada Disember 2018 dan menyertai Bersatu.

Menurut Shabudin, pada masa ini berlaku perubahan pada pola politik yang mana sesebuah parti perlu memberi peluang kepada generasi muda untuk memimpin parti.

”Bagi saya, pemimpin yang berusia lebih 55 tahun sepatutnya bersara (dengan mengambil kira beberapa faktor termasuk fizikal), saya sekarang berusia 57 tahun, orang kata dalam politik masih muda.

”Tetapi selepas usia 55, produktiviti kita sudah menurun, jadi beri peluang kepada pelapis muda kerana mereka punya lebih tenaga dan mempunyai buah fikiran yang lebih segar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) berkata, ahli politik di negara ini perlu bersara secara sukarela selepas berusia antara 55 hingga 60 tahun.

”Saya rasa sebagai ahli politik umur lebih 55 tahun elok bersara kerana selepas 60 tahun, baik macam mana pun kita kena sedar diri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN