Seorang maut, kanak-kanak perempuan patah paha kemalangan di Jerantut - Utusan Malaysia

Seorang maut, kanak-kanak perempuan patah paha kemalangan di Jerantut

KEADAAN dua kereta yang remuk akibat berlaku pertembungan dalam kemalangan di Kilometer 18, Jalan Jerantut-Temerloh berdekatan Kampung Bukit Ketupat di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Seorang lelaki maut manakala kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun cedera parah dalam kemalangan melibatkan dua kereta di Kilometer 18, Jalan Jerantut-Temerloh berdekatan Kampung Bukit Ketupat, dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 7.45. malam itu, pemandu Proton Wira, Bahari Sayang, 44, yang beralamat di Kampung Galing, Kuantan dekat sini meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Jerantut akibat kecederaan bahagian dada.

Pemandu sebuah lagi kereta, iaitu Proton Persona, Mohd. Azrin Hassan, 33, cedera di bahagian dada manakala anak perempuannya yang duduk di bahagian belakang, Nur Jannah Hadirah patah paha dan luka di bahagian kepala.

Isteri Mohd. Azrin, Syakilla Hussin, 31, dan seorang anak lelaki mereka, Mohd. Narifan yang berusia lima tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mazlan Hassan berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dipandu Bahari dari arah Temerloh, manakala Proton Persona dipandu Mohd. Azrin bersama keluarganya pula dari arah Jerantut.

“Apabila sampai di tempat kejadian pemandu Proton Wira dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu memasuki laluan bertentangan sehingga bertembung dengan Proton Persona.

“Kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Jerantut untuk rawatan lanjut. Pihak hospital memaklumkan, pemandu Proton Wira meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian dada,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mazlan, bedah siasat ke atas pemandu yang maut itu akan dijalankan selepas ujian calitan Covid-19 diperoleh manakala pemandu Proton Persona dan anak perempuannya yang mengalami kecederaan dirawat di Hospital Jerantut.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku di jalan yang lurus, satu lorong dua hala dan garisan putih berkembar di tengah jalan, manakala keadaan cuaca baik, jalan kering dan gelap tanpa lampu jalan.

Katanya, kedua buah kereta itu remuk teruk di bahagian hadapan, sementara kes kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41(1),  Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mazlan selanjutnya meminta pengguna jalan raya sentiasa berhati-hati dan berhemah semasa memandu terutama ketika pemanduan pada waktu malam.

Jelasnya, kenderaan masing-masing perlu diselenggara dengan baik sebelum memulakan perjalanan jarak yang jauh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN