Saya tidak menyindir atau menyerang sesiapa pun - Norman - Utusan Malaysia

Saya tidak menyindir atau menyerang sesiapa pun – Norman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Eksekutif KRU Entertainment Datuk Norman Abdul Halim menepis dakwaan yang mengaitkan kenyataannya yang diterbitkan dalam sebuah akhbar baru-baru ditujukan kepada mana-mana penggiat seni tempatan yang rancak berpolitik.

Kata Norman, kenyataan yang dikeluarkan adalah bersifat umum dan tidak ada kena mengena dengan mana-mana selebiriti yang terjun ke dalam bidang tersebut.

“Judul artikel bertajuk populariti semata-mata tidak mencukupi untuk berjaya dalam politik yang diterbitkan semalam  itu diambil di luar konteks.

“Saya tidak menyindir atau menyerang sesiapa pun,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Norman berpandangan mana-mana individu yang ingin masuk ke bidang politik perlu bermula dari bawah sebelum mampu meraih keyakinan masyarakat.

“Saya tidak pernah bertanding (politik), oleh itu saya menggunakan diri sendiri dalam berpersatuan misalnya sebagai rujukan untuk menjawab soalan.

“Sebelum menjadi presiden persatuan, harus ada pemilihan. saya juga bermula dengan jawatan paling rendah.

“Begitu juga dalam berpolitik . Bina nama dari bawah serta dapatkan sokongan dari masa ke semasa. Barulah seseorang itu boleh berjaya,” jelasnya.

Bekas pelakon dan usahawan, Hans Isaac menerusi Instagramnya menggesa Norman agar membuat penilaian sebelum mengeluarkan kenyataan seperti yang diterbitkan akhbar-akhbar berkenaan.

Tegas Hans, dia dan pasukannya bekerja keras untuk akar umbi PKR dan berkorban masa untuk menyelesaikan pelbagai isu di Ampang.

Mengulas lanjut, Norman berpendapat bahawa Hans perlu bersikap profesional dalam berdepan isu tersebut.

“Saya tidak menafikan, Hans banyak memberikan sumbangan di Ampang. Cuma bagi saya, dia tidak akan terasa dengan kenyataan saya jika dia profesional,” katanya.

Tambah Norman lagi sebagai rakan artis, beliau seboleh-bolehnya mahu melihat ada rakan selebriti yang bertanding beroleh kejayaan.

Oleh yang demikian, Norman  mencadangkan agar seseorang artis yang berpolitik melihat sesuatu isu dari sudut yang lebih luas untuk meraih sokongan masyarakat.

“Ia bertujuan meraih sokongan awam yang lebih banyak. Bila jadi ahli politik, kena menyelesaikan isu selain dalam industri kreatif. Kena ada pandangan holistik sebab mereka bukan artis lagi,” katanya lagi.

Untuk rekod, Hans tewas dalam saingan merebut jawatan Ketua Cabang Ampang bagi Pemilihan PKR baru-baru ini.

Namun, beliau sekali lagi mencuba nasib, bertanding bagi merebut jawatan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR untuk penggal 2022-2025.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya