PETALING JAYA: Pelakon popular, Sharnaaz Ahmad menegaskan dia tidak akan melakukan sesuatu yang bodoh tanpa sebab walaupun sering dikaitkan sebagai individu panas baran.
Jelas Sharnaaz, dia hanya bertindak dalam situasi yang dirasakan perlu dilakukan dan meminta agar pihak luar tidak terlalu awal menghukum tanpa mengetahui perkara sebenar.
“Saya tidak bodoh melakukan sesuatu yang begitu. Kepada sesiapa yang membuat spekulasi mengatakan Sharnaaz panas baran, tunggu cerita sebenarnya.
“Panas baran adalah satu benda yang sangat sinonim dengan saya. Tapi apa yang saya boleh katakan di sini, tiada unsur panas baran yang berlaku di sini.
“Saya hanya buat apa yang saya rasa perlu. Kenyataan yang keluar hanya dari sebelah sana. Belum lagi dari pihak saya. Apa yang digembar-gemburkan di media sosial itu tidak benar,” katanya.
Sharnaaz berkata demikian selapas dibebaskan dengan jaminan polis di Ibu Pejabat Polis Sentul, hari ini.
Pelakon itu ditahan reman selama tiga hari bermula Sabtu lalu selepas dipercayai menumbuk dan menendang seorang lelaki disyaki pengawal keselamatan minggu lalu.
Bapa kepada seorang anak itu juga dilaporkan menumbuk dan menendang seorang penduduk di kondominium sama dalam kejadian pada jam 8.30 malam, Khamis lalu.
Dalam pada itu, Sharnaaz berkata, dia telah memberi kerjasama baik untuk membantu siasatan dan akan mengadakan satu sidang media bagi menjelaskan perkara sebenar.
“Jangan hakimi terlalu awal. Jangan judge dari sebelah sana sahaja. Tak tahu lagi bila pendakwaan tetapi saya sudah beri kerjasama dan keterangan sebaik mungkin kepada pihak polis.
“Saya juga akan mengadakan sidang media untuk menjelaskan perkara sebenar dalam waktu terdekat,” katanya.