KUALA LUMPUR: Bagai hilang seorang kakak dan ibu penyayang, penyanyi dan cef terkenal, Datuk Fazley Yaakob mengakui cukup terkesan dengan pemergian permata seni, Allahyarham Adibah Noor yang meninggal dunia petang semalam.
Kata penyanyi lagu Asmara Ini itu, arwah merupakan seorang rakan artis yang terlalu penyayang, yang diibaratkan umpama ‘payung’ kepada semua artis.
“Saya kenal arwah begitu lama. 22 tahun. Berlakon dan buat pengacaraan bersama. Kami menjadi semakin rapat sewaktu sama-sama menyertai Gegar Vaganza musim ke-8 (GV8).
“Dia seorang pemain industri yang hebat. Walaupun namanya gah di persada seni, dia merendah diri dan tidak kedekut ilmu.
“Dia terlalu penyayang…ibarat seorang kakak dan ibu yang prihatin. Kita kehilangan satu permata (seni) yang umpama ‘payung’ kepada semua artis,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Fazley merupakan antara rakan artis termasuk Datuk AC Mizal dan isteri, Emilia Rosnaida, Datuk Zainal Abidin dan Datuk Afdlin Shauki yang berkesempatan hadir ke hospital Gleaneagles petang semalam.
Kata Fazley, beliau sempat menjenguk jenazah sebelum dipindahkan ke bilik mayat.
Bercerita tentang memori bersama Allahyarham, Fazley memaklumkan bahawa dia sedar arwah memperlihatkan perubahan pada fizikal dan stamina lebih-lebih lagi ketika mereka sama-sama menyertai GV8.
“Pada minggu pertama lagi, saya lihat dia tidak sekuat dahulu. Tubuhnya seakan menyusut dan lebih banyak duduk sebab mudah penat.
“Saya pernah mengadu, saya dah tak larat nak sertai GV8. Katanya, kalau saya tak larat, apatah lagi dia. Dia tidak pernah memberitahu apa-apa. Cuma katanya dia tak sihat. Sakit dan sedang melawan kesakitannya.
“Bila dia berkata begitu, saya sudah dapat mengagak, kanser. Hanya pesakit (kanser) yang akan kata begitu. Dalam keluarga saya, ada yang diuji kanser. Ayat mereka juga sama,” kongsinya.
Pada masa sama, Fazley memaklumkan kenangan terakhir bersama arwah adalah ketika mereka menjayakan penggambaran video muzik Suasan Di Hari Raya April lalu.
“Saya ada bertanyakan tentang keadaannya. Katanya dia tak kuat. Penat.
“Saya pegang tangan dia, peluk dia. Kata saya kepadanya, apa juga yang dia hadapi, kekal kuat. Air matanya mengalir. Dalam hati, saya tahu dia menderita.
“Saya bercadang untuk jumpa dia minggu ini, bawa dia makan di restoran saya. Tapi hasrat itu tidak sempat saya tunaikan. Gugur jantung saya setelah menerima perkhabaran dia sudah tiada,” ujarnya.
Allahyarham mengembuskan nafas terakhir di Hospital Gleaneagles petang semalam akibat kanser ovari tahap empat.
Jenazahnya akan disemadikan pagi esok (Ahad) di Tanah Perkuburan Islam Tanah Keramat Permai sebelum waktu Zohor.










