lompat parti

RM1 juta kos jika adakan sidang khas RUU lompat parti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu membelanjakan RM1,077,600 tidak termasuk kos operasi jika Sidang Khas Dewan Rakyat dan Dewan Negara diadakan ba­gi membentang dan membahas­kan Rang Undang-Undang (RUU) larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pertimbangan itu diambil kira susulan perbincangan pihaknya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Ketua Majlis yang memutuskan bahawa tiada keperluan kerajaan mengadakan Sidang Khas Parlimen.

Katanya, kerajaan melakukan penjimatan kewangan berbanding melaksanakan Sidang Khas sedangkan jumlah tersebut boleh diguna untuk perkara lain seperti membantu kelangsungan rakyat.

Sehubungan itu, beliau berkata, RUU berkenaan akan dibahas dan dibentangkan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Ke-14 bermula 18 Julai sebagaimana takwim sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebelum disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk pewarkahan serta pewartaan.

“Pertimbangan tiada ke­perlu­an sidang khas adalah penyertaan ramai ahli Parlimen dalam lawatan ke luar negara pada ketika ini sehingga pertengahan Julai bagi mengikuti program-program anjuran Parlimen Malaysia yang tidak boleh ditangguhkan kerana melibatkan lain-lain pihak berkepentingan.

“Sebagai contoh, terdapat dua Jawatankuasa Pilihan Khas yang akan ke luar negara pada awal Julai sehingga pertengahan bulan ini iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi serta Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan.

“Oleh itu, Perdana Menteri selaku Ketua Majlis telah memutuskan bahawa tiada keperluan untuk Kerajaan mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen bagi membentang dan membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan berkaitan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kelmarin Wan Junaidi memaklumkan Jawatankuasa Pi­li­han Khas Menimbang Rang Undang-Undang Perlembagaan dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti secara sebulat suara bersetuju meminta dan mencadangkan kepada Perdana Menteri untuk diadakan Mesyuarat Khas Parlimen pada minggu pertama Julai.

Dalam pada itu, Wan Junaidi memaklumkan, cadangan pembentangan RUU itu mengikut takwim Sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara akan datang ini akan memberi masa yang mencukupi untuk RUU tersebut diteliti oleh ahli Parlimen sebelum ia dibahas dan perkara itu tidak dapat dilaksanakan jika Sidang Khas diadakan seperti dicadangkan awal Julai.

“Selain itu jika Mesyuarat Khas diadakan, ia hanya dapat diadakan pada pertengahan Julai memandangkan ketiadaan ramai ahli Parlimen sebelum pertengahan bulan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN