BUTTERWORTH: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) masih menunggu keputusan permohonan untuk membuat semakan tarif air domestik yang baharu bagi negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Jaseni Maidinsa berkata, permohonan untuk semakan itu telah dihantar kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Mac lalu sebelum diserahkan kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk tindakan susulan.
“Tarif baharu yang kita cadang itu buat masa ini kita tak boleh maklum, tapi tarif air sekarang (di Pulau Pinang) secara puratanya ialah RM0.32 bagi setiap 1,000 liter berbanding purata di peringkat nasional iaitu RM0.71 (untuk kapasiti yang sama).
“Semua negeri pun dah hantar dan menunggu (permohonan semakan baharu). Semua operator air juga menunggu,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Pusat Pentadbiran Loji Rawatan Air Sungai Dua di Seberang Perai Utara (SPU) yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Jaseni berkata, permohonan semakan baharu itu merupakan salah satu daripada usaha PBAPP untuk menguruskan permintaan air di negeri ini.
“Disebabkan tarif air di Pulau Pinang adalah yang terendah di negara ini, maka penggunaannya juga adalah paling tinggi iaitu 308 liter perkapita sehari, kira-kira 50 peratus lebih tinggi daripada penggunaan air di Singapura,” katanya.
Menurut Maidinsa, PBAPP juga telah mewajibkan sebarang permohonan baharu untuk mendapatkan bekalan air supaya memasang alat penjimatan air sebagai usaha lain untuk menguruskan permintaan air di negeri ini.
“Saya berharap agar tarif air ini dapat disemak segera dan tidak lagi ditangguh kerana akan menyebabkan tahap perkhidmatan air di kebanyakan negeri menurun,” ujarnya yang memaklumkan kali terakhir tarif air di Pulau Pinang disemak ialah pada 2015. – UTUSAN










