PUTRAJAYA: Tempoh sesuai mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah selepas penggal tamat.
Pengerusi Parti Pejuang Tahahair (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan sengaja mahu mengadakan PRU15 lebih awal kerana melihat kedudukan pembangkang ketika ini yang dilihat tidak bersedia untuk menghadapi PRU15.
“Tarikh yang sesuai ialah kalau kita ikut jadual PRU15 dan ketika ini tidak sesuai,” kata beliau ketika ditemui pada memorandum persefahaman (MoU) Pejuang Muda bersama Silver Gold Collector Club (SGCC) di sini, hari ini.
Pada Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan PRU15 tidak sesuai diadakan ketika ini kerana negara sedang berdepan pelbagai isu termasuk kenaikan kos sara hidup dan kadar inflasi yang tinggi.
Ditanya berhubung kenyataan Datuk Seri Najib Razak yang menyifatkan dirinya tidak lagi relevan dalam arena politik negara, Dr. Mahathir berkata, ia hanya pendapat peribadi Najib sahaja.
“Saya tidak relevan? Itu pendapat dia (Najib). Orang lain mungkin ada pendapat lain. Dia (Najib) mempunyai hak untuk menganggap sesiapa sahaja sebagai tidak relevan,” katanya. – UTUSAN