PRU15: Bukan masanya bincang logo PN atau parti sendiri 

PRU15: Bukan masanya bincang logo PN atau parti sendiri 

RAZALI IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penggunaan logo parti sama ada secara sendirian atau mengikut gabungan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak sepatutnya dibincang ketika ini kerana dibimbangi mengundang persepsi buruk kepada keterangkuman Perikatan Nasional (PN).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Senator Datuk Razali Idris berkata, yang menjadi keutamaan sekarang ialah strategi menguatkan parti serta mengagihkan kerusi secara adil kepada semua parti komponen.

Beliau berkata, pandangan menggunakan logo sendiri dan bukan gabungan besar tidak boleh diterima walaupun atas kapasiti peribadi, kerana ia menjangkaui pandangan pimpinan tertinggi.

“Keputusan ini terlalu besar, lebih baik tunggu keputusan Majlis Presiden untuk putuskan apa logo dan bendera boleh digunakan. Tetapi, saya tidak boleh terima kerana PN sudah ada logo sendiri malah bertanding beberapa pilihan raya negeri sebelum ini.

“Apabila sudah wujudkan satu perikatan seperti PN dan telah didaftarkan sebagai gabungan rasmi mestilah PN tunjukkan kita ada kesatuan yang kuat. Caranya, guna logo PN. Tidak boleh ikut suka hati mahu guna logo apa.

“Jika itulah kehendak yang sesuai untuk menang, maka boleh ambil kira, tetapi sekarang bukan bincang pasal ini. Sekarang kukuhkan parti dahulu untuk menang pilihan raya tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas, Dr. Mohd. Zuhdi Marsuki atas kapasiti peribadinya berkata, Pas masih perlu menggunakan logo parti itu sebagai strategi untuk menang dalam pilihan raya terutama di kawasan Pantai Timur dan negeri lingkaran Melayu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka sebelum ini, Pas menggunakan logo PN bagi mencerminkan semangat muafakat dalam kalangan parti gabungan itu.

Utusan Malaysia menghubungi Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai bagi mendapatkan pandangan, namun, beliau tidak menjawabnya.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu (dilantik), Dr. Muhammad Faiz Na’aman pula berkata, ketika ini PN tidak ‘memaksa’ parti komponennya sama ada menggunakan logo yang sama.

“Kita faham dari segi kepentingan politiknya, mungkin ada negeri tertentu seperti di Kelantan dan Kedah di mana Pas kubu kuat mereka di sana, jadi kami tidak hairan mengapa Pas mahu logo sendiri kerana mereka lebih yakin dan sudah lama dikenali.

“Namun, di luar skop itu, adalah wajar untuk menggunakan satu lambang sahaja. Seperti Barisan Nasional (BN) yang menggunakan logo sama untuk semua parti. Saya lebih setuju yang macam ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya