Post mortem hampir 25,000  pelajar tidak duduki SPM - Utusan Malaysia

Post mortem hampir 25,000  pelajar tidak duduki SPM

RADZI Jidin berbual bersama pelajar selepas menerima keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) Tahun 2021 di SMK Presint 18 (1), Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan akan melakukan post mortem ke atas 24,941 calon yang tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pihaknya perlu mengenal pasti berikutan calon SPM kali ini adalah kohort pertama melibatkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan berdepan dengan pandemik Covid-19.

Menurut beliau, mereka ini adalah calon yang terkesan pandemik Covid-19 apabila berada di tingkatan empat dan tingkatan lima ketika tempoh mencabar dan getir. 

“Kita akan menganalisis data secara keseluruhan melibatkan punca, trend yang berlaku dan negeri mana yang paling ramai. 

“Buat masa ini, KPM mendapati sebahagian besar adalah calon persendirian dan didapati ada yang memilih untuk tidak terus belajar kerana faktor peribadi, hal keluarga dan menceburkan diri dalam ekonomi gig,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan  (SMK) Presint 18 (1) di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai sejumlah 24,941 calon SPM 2021 tidak menduduki peperiksaan itu berbanding 407,097 calon berdaftar di 3,382 pusat peperiksaan.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Nor Zamani Abdol Hamid berkata, peperiksaan SPM 2021 dilaksanakan dalam dua sesi berikutan pandemik Covid-19 dan merupakan kumpulan pelajar pertama yang mengikuti KSSM di Tingkatan 1 pada tahun 2017.

Pelbagai usaha

Radzi berkata, bagi calon sekolah, pihak guru melakukan pelbagai usaha bagi memastikan pelajar hadir ke sekolah kerana KSSM berbeza daripada yang lain. 

Katanya, guru-guru berusaha dengan pergi ke rumah pelajar dan memaklumkan kepada ibu bapa pelajar untuk memastikan anak mereka ke sekolah. 

“Banyak usaha yang dilakukan dengan menghubungi pelajar dan keluarga, pergi ke rumah pelajar, perbincangan dengan ibu bapa dan penjaga pelajar. 

“Kita mahu mereka kembali ke sekolah kerana KSSM berbeza maka mereka perlu belajar dan sebab itu kita berusaha meyakinkan ibu bapa dan penjaga,” katanya. 

Ditanya mengenai calon yang tidak hadir SPM ataupun gagal berpeluang mengambil semula peperiksaan, Radzi berkata, semua calon itu boleh mengambil peperiksaan khas bulan September. 

“Sebelum ini ia dipanggil kertas Julai iaitu Bahasa Malaysia, Sejarah dan Matematik,” katanya.- UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.