Polis siasat jenayah komersial lebih RM5.2 bilion - Utusan Malaysia

Polis siasat jenayah komersial lebih RM5.2 bilion

Acryl Sani melancarkan kempen anti scam sambil diperhatikan oleh Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat (kanan) dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din ( kiri) sempena Majlis Perasmian Kempen Anti Scam PDRM 2022 di The Mall, Mid Valley Southkey, Johor Bahru di sini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebanyak 71,833 kes jenayah komersial disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan kerugian lebih RM5.2 bilion sejak 2020 hingga Mei lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, daripada jumlah tersebut, 47,850 kes yang dicatatkan merupakan jenayah penipuan dalam talian.

Beliau berkata, angka kes yang besar ini perlu diberi perhatian untuk memastikan ia dapat dikawal supaya orang awam tidak lagi terjebak atau terpedaya dengan jenayah dalam talian.

Sejak menjalankan kempen kesedaran dalam kalangan masyarakat, kes membabitkan ‘Love Scam’ mencatatkan penurunan.

“Bagi kes ‘Love Scam’, ia mencatatkan penurunan daripada 1,580 kes pada 2020 menurun kepada 1,460 kes pada 2021 dan sebanyak 361 kes pada tahun ini setakat bulan lalu.

“Kebanyakan kes ‘Love Scam’  dilakukan mereka yang menyamar sebagai kekasih sebelum memperdaya mangsa untuk memindahkan duit bagi tujuan penghantaran atau tuntutan barangan.

“Bagi kes ‘Macau Scam’ pula, sebanyak 2,254 kes yang direkodkan pada 2020 mencatatkan penurunan kepada 1,586 kes pada 2021 dan meningkat kepada 1,612 kes setakat Mei pada tahun ini.

“Kes ‘Macau Scam’ ini melibatkan sindiket yang menyamar sebagai pihak berkuasa memperdayakan mangsa untuk membuat pemindahan wang bagi kes yang didakwa bersabit mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Anti Scam PDRM 2022, di sini hari ini. 

Acryl Sani berkata, kes penipuan pembelian e-dagang turut mencatatkan peningkatan daripada 8,851 kes pada 2020 meningkat kepada 9,569 pada tahun lalu dan setakat Mei ini, sebanyak 3,833 kes direkodkan.

Beliau berkata, eejak 2020 hingga Mei lalu, sebanyak 26,213 kes yang dilaporkan telah didakwa di mahkamah.

“Cabaran polis  melakukan siasatan apabila mangsa malu untuk tampil membuat laporan, tidak mahu masyarakat tahu mereka menjadi mangsa penipuan dan merasakan tidak berbaloi untuk membuat aduan,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya