PM tidak terburu-buru adakan PRU15 - Utusan Malaysia

PM tidak terburu-buru adakan PRU15

prn johor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak terburu-buru untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ber-ikutan keadaan dalam negara yang sedang berdepan kenaikan inflasi dan harga barang terutama makanan.
Perdana Menteri berkata, walaupun didesak untuk segera me­laksanakan pilihan raya ekoran situasi politik yang tidak stabil tetapi beliau bertegas untuk menunggu waktu yang sesuai.
“Kita menghadapi tempoh dengan kenaikan inflasi dan harga barangan, adakah kini masa sesuai?” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Nikkei Asia baru-baru ini.

Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan kadar inflasi negara untuk tahun ini adalah antara 2.2 hingga 3.2 peratus dan pada April, inflasi dicatatkan pada paras 2.3 peratus.

Bagaimanapun, kata beliau, pilihan raya tidak boleh ditangguhkan lebih jauh daripada garis masa ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tempoh penggal Parlimen sekarang akan berakhir pada 16 September 2023 manakala MoU dengan pembangkang untuk tidak mengadakan PRU15 tamat pada 31 Julai ini.

Ismail Sabri juga menegaskan, beliau adalah orang parti dan perlu mematuhi keputusan UMNO serta Kabinet di mana di bawah Perlembagaan, Kabinet mesti meluluskan keputusan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen.

Ekonomi

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan langkah ekonomi yang mungkin dilihat menambah beban kos sara hidup rakyat iaitu memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Katanya, langkah itu dianggap perlu bagi mengembangkan asas pendapatan negara dan bagi menanggung beban subsidi awam walaupun kerajaan sedar tentang persepsi negatif terhadap cukai berkenaan.

“Kami kehilangan RM20 bilion (kira-kira AS$4.6 bilion) hasil tahunan apabila memansuhkan GST dan menggantikannya dengan cukai jualan dan perkhidmatan. Tiada negara di dunia yang kembali daripada GST kepada SST, kecuali Malaysia,” katanya.

Justeru, kata Perdana Menteri, kerajaan akan merangka cara untuk mendidik orang ramai tentang kepentingan GST dan kutipan cukai yang telus.

Beliau juga memberi jaminan, jika diperkenalkan semula, kerajaan akan mengenakan kadar GST yang lebih rendah (berbanding enam peratus ketika diperkenalkan pada taun 20165 ) supaya tidak membebankan rakyat tetapi tidak terlalu rendah sehingga menggagalkan tujuan mengembangkan hasil cukai.

Ismail Sabri juga berkata, program rasionalisasi subsidi dengan pelan komprehensif yang akan memanfaatkan golongan berpendapatan rendah dan sederhana akan dikemukakan kepada Kabinet untuk pertimbangan tidak lama lagi.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN