SEPANG: Pihak Berkuasa Agama Negeri (PBAN) perlu lebih bertanggungjawab dalam isu institusi tahfiz yang belum lagi berdaftar demi menjaga imej baik pusat pengajian berkenaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan pusat sebenarnya tiada kuasa pun dalam hal ehwal institusi tersebut.
“Segala urusan berkaitan institusi tahfiz adalah di bawah bidang PBAN dan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyerahkan kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi pelaksanaan Makkah Route atau program praperlepasan bakal jemaah haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.
Malaysia merupakan negara perintis inisiatif itu yang diperkenalkan oleh kerajaan Arab Saudi pada 2017 sebelum diperluaskan kepada Indonesia, Bangladesh, Maghribi dan Pakistan.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan kira-kira 1,000 pusat pengajian tahfiz di seluruh negara perlu diputihkan demi membela kebajikan pelajar dan tidak dieksploitasi oleh pihak tertentu.
Langkah itu demi melindungi sejumlah 1,208 buah institusi berkenaan yang berdaftar dengan PBAN daripada terkena tempias negatif ekoran masalah berlaku di pusat tahfiz tidak sah.
Malah, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakiman Mohd. Yusoff mengakui institusi ini di bawah PBAN yang diberikan hak peruntukan undang-undang sebelum diselaras agensi pusat itu.
Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk bagaimanapun tidak pula memperincikan usaha yang boleh dilakukan Jakim bagi membantu proses pemutihan pusat pengajian tahfiz tidak berdaftar.
“Perkara ini terpulang kepada PBAN untuk buat apa yang difikirkan perlu termasuk mungkin bekerjasama dengan agensi lain bagi memastikan semua premis itu berdaftar,” jelas beliau.
Kerajaan mewujudkan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara sejak 2016 dengan pelbagai inisiatif dirangka bagi mena ngani segala isu berkaitan dengan institusi pendidikan itu di Malaysia.
Antara dilaksanakan ialah mewujudkan Garis Panduan Penubuhan dan Pendaftaran Institusi Tahfiz bertujuan membolehkan mereka layak menerima segala insentif disediakan kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malah mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa khas Kabinet bagi menangani segera isu institusi tahfiz yang tidak berdaftar.
Kepentingan pendaftaran juga memudahkan penyaluran bantuan kerajaan demi kelangsungan institusi berkenaan yang banyak diusahakan badan bukan kerajaan atau persendirian.-UTUSAN










