Perkeso keluar kompaun hampir RM2 juta terhadap majikan ingkar

Perkeso keluar kompaun hampir RM2 juta terhadap majikan ingkar

MOHAMMED Azman Aziz Mohammed memeriksa seorang pekerja dekat sebuah kedai cuci kereta dalam Op Kesan Perkeso untuk memastikan majikan mendaftar dan mencarum untuk pekerja mereka di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengeluarkan 220 kompaun dan tujuh arahan pematuhan dikeluarkan selepas 1,258 majikan diperiksa sejak awal bulan ini menerusi Operasi (Op) Kesan di seluruh negara.

Malah, dalam tempoh dua tahun lalu, sejumlah 5,896 notis kompaun dikeluarkan terhadap majikan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1.96 juta serta 6,579 kes didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan.

Kesemua tindakan tersebut diambil selepas majikan didapati gagal mematuhi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 apabila tidak mencarumkan pekerja mereka kepada Perkeso.

Menurut Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, pelbagai alasan dikemukakan majikan ketika pemeriksaan dilakukan ke atasnya termasuklah pekerja baru mula bekerja.

“Jadi, pelbagai alasan yang diberi. Bagi majikan, janganlah melihat caruman pendaftaran Perkeso ini satu beban, lihatlah bahawa ini adalah demi kebajikan pekerja dan kita tidak akan berkompromi. Ini adalah jaringan keselamatan sosial pekerja yang mana majikan perlu memberi keutamaan.

“Kerajaan memberi pelbagai bantuan kepada majikan ketika pandemik untuk memastikan kesinambungan perniagaan mereka, tidak gulung tikar dan membantu pekerja, jadi dalam tempoh endemik dan ingin bangkit semula, sila tampil dan daftar pekerja dan majikan,” katanya ketika ditemui dalam Op Kesan di Dataran Otomobil, Seksyen 15, hari ini.

Beliau menegaskan, caruman Perkeso tidak boleh dianggap sebagai beban apabila inisiatif tersebut merupakan satu bentuk perlindungan terhadap pekerja bagi menjamin kebajikan terutama bila ditimpa kemalangan.

Jelasnya, caruman yang dikenakan cuma pada kadar 1.75 peratus bagi majikan dan 0.5 peratus untuk pekerja dan jumlah tersebut disifatkan kecil apabila melibatkan kos tidak sampai RM30 bagi seorang pekerja yang menerima gaji sebanyak RM1,500.

Dalam pada itu, Mohammed Azman Aziz memberitahu, tidak ada pengecualian terhadap mana-mana majikan atau pekerja dalam mencarum Perkeso walaupun cuma mengambil seorang pekerja sementara.

“Tidak ada pengecualian, setiap majikan yang menggaji satu pekerja wajib. Begitu juga kepada pekerja p-hailing dan e-hailing. Mungkin mereka merasakan pekerjaan sedemikian tidak wajib (mencarum), sebenarnya mereka juga diwajibkan untuk mendaftar dan mencarum.

“Kita juga mencari pendekatan bukan untuk membebankan, tetapi menjaga kebajikan mereka. Ada di antara mungkin pemandu e-hailing merasakan kita memaksa, ini bukan paksaan sebaliknya pendekatan yang dilaksanakan kalau tiada kesedaran, kita terpaksa memberi kesedaran diri kepada mereka,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN